suria

Syarikat Tenusu Armenia Guna Keju Langsai Hutang Pekerja, Pembekal

Produk ujian Molder Blue mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk tempatan dan luar negara. - Ihsan Oddity Central

YEREVAN: Sebuah syarikat tenusu di Armenia yang gagal membayar gaji pekerja dan pembekal susu mengambil langkah drastik untuk menyelesaikan hutang tersebut dengan menggunakan keju kulat biru Roquefort.

Syarikat Ashtarak Kat mula menghasilkan produk keju itu dengan kuantiti yang banyak di kilangnya di Chambarak awal tahun ini selepas kajian pada tahun lalu mendapati satu lagi produk ujian, Molder Blue mendapat permintaan tinggi di dalam dan luar negara.

Tahap pengeluaran mencapai paras maksium pada pertengahan tahun ini tetapi firma berkenaan gagal mencari pembeli keju tersebut dan dalam tempoh beberapa bulan, syarikat berkenaan tidak mampu membayar pekerja dan pembekal susu tempatan.

Hutang syarikat itu mencecah 70 juta dram (RM642,818) dan memfailkan kepada mahkamah untuk diisytiharkan sebagai muflis.

Tanpa sebarang wang untuk menyelesaikan hutang tersebut dan peti ais syarikat itu dipenuhi keju Roquefort, Ashtarak mengambil keputusan untuk mengurangkan kemarahan pekerjanya dan penternak lembu tempatan dengan membayar mereka menggunakan keju itu sebagai ganti.

Produk keju kulat biru Roquefort dijadikan sebagai ganti untuk membayar gaji pekerja dan hutang pembekal susu. - Ihsan Oddity Central

Setiap kilogram keju berkenaan bernilai 2,000 dram (RM18.36) dan semua keju akan diberikan sehingga hutang syarikat tersebut langsai.

Syarikat itu memiliki kira-kira 60 tan keju Roquefork dan jumlah tersebut lebih daripada mencukupi untuk membayar hutangnya.

Namun tidak semua pihak gembira dengan jalan penyelesaian itu.

Datuk Bandar Chambarak, Yuri Avalyan berkata, pekerja dan penternak sedar syarikat Ashtarak Kat tidak mempunyai wang tetapi pemberian keju Roquefort sebagai ganti bukan penyelesaian terbaik.

Menurut Avalyan, pengambilan keju kulat biru di Armenia sangat rendah dan peluang untuk menjual produk tersebut kepada orang ramai juga pasti melibatkan harga yang lebih murah.

"Pekerja dan penternak terlibat tidak mempunyai tempat simpanan  keju yang besar dan produk itu akan rosak sebelum mereka dapat menjualnya," katanya.

Bagaimanapun kedua-dua pihak itu bersetuju untuk menerima tawaran syarikat berkenaan dengan syarikat Ashtarak Kat perlu menyimpan kesemua keju terbabit sehingga dibeli.

Setakat ini, syarikat itu telah berurusan dengan pihak di Rusia tetapi masih mencari pembeli berpontensi untuk menghabiskan stok tersebut.

Armenia, Ashtarak Kat, Roquefort

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain