suria

PM Itali Letak Jawatan Ekoran Gagal Raih Sokongan

ROM: Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi mengambil keputusan meletak jawatan selepas mengalami kekalahan teruk dalam undian pungutan suara berhubung rancangan beliau untuk meminda Perlembagaan.

Dalam sidang media lewat Ahad malam, Renzi berkata, beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan tersebut selepas hasil pungutan suara menunjukkan kira-kira 42 peratus menyokong usul tersebut manakala 58 peratus lagi menentang.

"Selamat maju jaya untuk kita semua," kata Renzi kepada pemberita.

Beliau juga memaklumkan akan bertemu dengan Kabinet bagi menyatakan keputusan untuk meletak jawatan pada Isnin dan menghantar surat peletakan jawatan kepada Presiden Itali selepas dua tahun setengah mentadbir negara itu.

Presiden Sergio Mattarella dijangka akan meminta Renzi untuk menangguhkan peletakan jawatan tersebut sekurang-kurangnya sehingga Parlimen meluluskan perbelanjaan negara pada hujung bulan ini.

Dalam pada itu, Renzi berkata, pembaharuan Perlembagaan yang ingin dilakukannya akan mengurangkan kerenah birokrasi di Itali dan menjadikan negara lebih berdaya saing.

Namun pungutan suara yang diadakan dilihat sebagai peluang oleh pihak yang tidak bersetuju dengan pembaharuan tersebut untuk mengekang hasrat Renzi.

Kem "Tidak" disokong oleh parti populis terutamanya Pergerakan Lima Bintang yang menyatakan kesediaan untuk memimpin Itali.


Matteo Renzi, Itali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain