suria

‘Mini Jack Ma’ Tanggung Beban Populariti

BEIJING: Selepas dikenali ramai dengan jolokan 'Mini Jack Ma', Fan Ziaoqin kini berusaha untuk menyesuaikan diri bagi menjalani kehidupan sebagai selebriti alam siber.

Budak lelaki ini menjadi popular selepas penduduk kampung memuat naik gambarnya yang seiras Jack Ma pada hari jualan murah dalam talian yang dilancarkan pengasas Kumpulan Alibaba itu pada 11 November.

Namun, dia dan keluarga yang tinggal di daerah Yongfeng dalam wilayah Jiangxi di timur China, perlu menanggung beban populariti itu.

Laporan media tempatan berkata, orang ramai telah mengerumuni kampung itu dan dalam masa sehari kira-kira 50 orang berkunjung ke rumahnya dengan pelbagai tujuan.

Lebih menarik apabila ada pengunjung dan wakil syarikat memberi sokongan kepada Fan Xiaqon dan keluarganya, dengan menawarkan bantuan kewangan bagi menanggung perbelanjaan pendidikannya.

Seorang ahli perniagaan menyumbang sebanyak 6,000 yuan (RM3,844) secara tunai, selain menghadiahkan televisyen LCD dan barangan runcit bagi membantu keluarganya yang hidup serba kekurangan.

Selain itu, ada seorang pengacara yang memuat turun video merakamkan pengalaman berada di rumah Fan Xiaoqin, hanya untuk mendapatkan lebih banyak pengikut dan hit di Internet.

Malahan ada beberapa usahawan yang memaksa budak tersebut untuk mengambil gambar bagi mempromosikan jenama atau produk mereka.- China Daily/Asia News Network
Mini Jack Ma, Alibaba

Artikel Lain