suria

Kumpulan Bersenjata Syria Ancam Bunuh Ahok

Kumpulan bersenjata Syria menyampaikan mesej berbaur ancaman kepada Ahok selepas calon Gabenor Jakarta itu menghina Islam. - AGENSI

JAKARTA: Ancaman kumpulan radikal di Syria terhadap calon Gabenor Jakarta, Basuki Thahaja Purnama atau Ahok kerana menghina Islam, mendapat perhatian serius polis Indonesia.

Portal Jakarta Globe melaporkan, perkara itu dikesan pihak berkuasa apabila gambar sekumpulan lelaki yang lengkap bersenjata dipercayai anggota kumpulan Jaisy Al Fath memegang kertas bertulis "Tangkap Ahok" dan "Peti Mati Ahok" tersebar di laman sosial.

Selain itu terdapat juga kertas yang mengandungi mesej antaranya “Hukum Ahok atau peluru kami yang menghukum.”

“Tangkap Ahok atau jihad di seluruh negara,” kata satu lagi mesej.

Tidak dapat dipastikan sama ada gambar terbabit mempunyai kaitan dengan tunjuk perasaan "Aksi Bela Islam" yang diadakan di Istana Negara dan Majlis Perbandaran di Jakarta pada Jumaat.

Tetapi pihak polis meningkatkan tahap keselamatan susulan ancaman dari kumpulan bersenjata itu.

"Kami memantau perkembangan dalam laman sosial. Tetapi gambar-gambar terbabit diambil di Syria.

"Ia merupakan sebahagian maklumat perisikan dan kami akan memandang serius ancaman sedemikian," kata jurucakap polis Jakarta, Awi Setiyono.

Ahok, Jakarta, Syria

Artikel Berikut

Artikel Lain