suria

Trump Gelar Pemimpin AS Bodoh, Undang Lebih Banyak Keganasan

NEW YORK: Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan, Donald Trump secara terbuka menggelar pucuk kepimpinan negara ini sebagai "bodoh" kerana berlembut dalam isu migran, sekali gus memberi amaran bahawa kejadian pengeboman yang berlaku di New York dan New Jersey baru-baru ini akan berulang lagi.

Kenyataan Trump itu dipercayai merujuk kepada keputusan Presiden Barack Obama untuk menerima 110,000 pelarian dari seluruh dunia ke AS pada tahun depan, meningkat daripada 85,000 secara keseluruhannya pada tahun ini.

"Pemimpin kita, bukannya lemah, tetapi bodoh.

"Perkara ini sangat memalukan kerana kita membiarkan beribu-ribu orang (pelarian) masuk ke negara ini, menyebabkan kita menjadi lemah," katanya ketika menyertai wawancara bersama program Fox & Friends pada Isnin.

Ahli perniagaan berusia 70 tahun itu juga mempersoalkan kenyataan pihak berkuasa yang menolak kaitan kejadian tersebut dengan aktiviti pengganas antarabangsa.

Malah beliau menyuarakan kekecewaan terhadap keengganan pihak polis untuk melakukan pemeriksaan berasaskan perkauman dan agama bagi memerangi keganasan.

"Saya pasti kejadian pengeboman baru-baru ini mempunyai kaitan dengan pengganas asing.

"Tetapi kita masih enggan melakukan pemeriksaan berasaskan perkauman dan keputusan tersebut boleh menyebabkan lebih banyak kejadian pengeboman berlaku," katanya.

Susulan kejadian letupan di New York dan New Jersey, pihak polis berjaya menahan suspek kelahiran Afghanistan, Ahmad Khan Rahami yang disyaki bertanggungjawab dalam kedua-dua pengeboman itu.


Donald Trump, Barack Obama

Artikel Lain