ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan lebih 150 mangsa cedera apabila dua buah kereta api bertembung di wilayah tengah Pakistan, Punjab pada awal Khamis.
Menurut laporan media tempatan, insiden itu melibatkan kereta api penumpang, Awam Express dari bandar Karachi dan sebuah kereta api kargo yang berada di atas landasan tanpa mengikut jadual.
Empat gerabak kereta api penumpang turut terbalik akibat pertembungan itu yang berlaku kira-kira 25 kilometer dari bandar Multan.
Kira-kira 10 mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius.
Pegawai syarikat pengurusan perkhidmatan kereta api tempatan, Saima Bashir mengesahkan kejadian itu yang disyaki akibat kecuaian jurutera kereta api penumpang.
Tambahnya, kereta api kargo terpaksa dihentikan bagi membolehkan operasi mengeluarkan mayat seorang lelaki yang digilis ketika cuba melintasi landasan.
"Tiga mangsa lagi yang terperangkap di dalam gerabak penumpang berjaya diselamatkan dan telah dihantar ke Hospital Nishtar," katanya.
Punca sebenar kejadian masih lagi disiasat. - REUTERS


