suria

New York Bandar Terbaik Tangkap Pokemon Di Hotel

Lobi hotel The Towers di Lotte New York Palace, New York City. Hotel The Towers mengungguli lokasi terbaik untuk penginapan bagi permainan Pokemon Go. Foto The New York Palace

LAMAN web bagi tempahan hotel, Hotels.com membuat satu senarai yang dipanggil sebagai 'Poketel' terbaik di Amerika Syarikat (AS) susulan gelombang trend permainan Pokemon Go.

Difahamkan, 'Poketel' itu merujuk kepada hotel yang berada di lokasi penginapan paling baik untuk bermain Pokemon Go.

Menurut senarai yang dikeluarkan, New York City mengungguli kedudukan bagi hotel dengan akses yang banyak bagi 'Pokestop' dan 'Pokegym' di dalam kawasannya, atau berdekatan dengan bangunan itu.

New York City mendominasi sembilan kedudukan dalam 10 senarai terbaik 'Poketel'.

Kedudukan teratas 'Poketel' di AS ialah The Towers di Lotte New York Palace, yang mempunyai 11 Pokestop dan Pokegym dalam lingkungan 500 kaki (152 meter) dan 231 lagi antara jarak 2 kilometer.

Industri pengembaraan dan pelancongan kini segera mengenal pasti prospek berdasarkan permainan mudah alih itu.

Berdasarkan tinjauan ke atas 500 orang di Hotels.com, 79 peratus mengatakan mereka merancang untuk bermain Pokemon Go pada percutian mereka yang akan datang.

Hampir separuh responden iaitu 48 peratus turut mengatakan bahawa mereka akan mempertimbangkan untuk mengunjungi destinasi baharu kerana permainan itu.

Kebanyakan responden bersetuju bahawa mereka akan memilih kemudahan WiFi percuma berbanding sarapan percuma, dan pemilihan tempahan hotel berdasarkan lokasi 'Pokestop'. — AFP Relaxnews

Pokemon Go

Artikel Lain