suria

Serangan Bom Thailand: Mungkin Bermotifkan Politik - KP Thailand

BANGKOK: Beberapa insiden pengeboman dan serangan diwilayah-wilayah di Selatan Thailand dalam tempoh 24 jam mungkin bermotifkan politik, kata Ketua Polis Thailand, Jen Chaktip Chaijinda pada Jumaat.

Beliau berkata, kebanyakan wilayah selatan yang terjerumus dalam kancah keganasan menyokong draf perlembagaan semasa pungutan suara pada Ahad.

"Berdasarkan rancangan sabotaj dan pengalaman saya pada masa lepas, kawasan-kawasan yang menerima draf perlembagaan, kawasan-kawasan tersebut mungkin terdedah kepada tindakan ini. Jika melihat kepada tujuh wilayah yang insiden itu berlaku, apakah keputusan pengundian," katanya.

Beliau berkata, oleh kerana insiden itu telah berlaku, pihak berkuasa harus mengambil tindakan undang-undang untuk memberkas pesalah.

Chaktip juga berkata, walaupun alat yang digunakan dalam serangan bommempunyai persamaan ketara dengan alat yang digunakan oleh militan Thai di selatan, pihak berkuasa tidak dapat membuat kesimpulan dan perlu membuat siasatan lanjut.

Serangan bom dan perbuatan khianat di ketujuh-tujuh wilayah di selatan Thailand dalam tempoh 24 jam lepas menyebabkan empat orang maut dan 35 lagi cedera termasuk 10 pelancong asing, katanya.

Pada sidang media sebelumnya, Polis Thailand menyalahkan sabotaj sebagai punca insiden keganasan dan pengeboman dan menolak sebarang kaitan dengan keganasan antarabangsa.

Timbalan jurucakapnya, Mejar Jen Piyapan Piungmuang berkata insiden ini berbeza dengan keganasan. Ia insiden sabotaj di kawasan-kawasan tertentu.

Tiada bukti unhtuk mengaitkannya dengan keganasan antarabangsa kerana Thailand tidak dilanda konflik perkauman atau agama.

Susulan insiden keganasan itu, Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha telah mengarahkan kawalan keselamatan di kawasan-kawasan awam dan kawasan tumpuan pelancong termasuk lapangan terbang diperketatkan.

Beliau juga berikrar untuk memburu pelaku insiden tersebut. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain