suria

Lelaki Tembak Polis Di Baton Rouge Pernah Berkhidmat Dengan Tentera Marin AS

-foto AFP
WASHINGTON: Seorang bekas tentera marin Amerika Syarikat (AS) berpangkat sarjan yang pernah berkhidmat di Iraq dan pernah mendapat anugerah dekan di kolejnya telah dikenal pasti sebagai lelaki bersenjata yang membunuh tiga pegawai polis dan mencederakan tiga yang lain di Baton Rouge, Louisiana, Ahad.

Perkara ini disahkan oleh sumber kerajaan yang rapat dengan siasatan.

Suspek, dikenal pasti sebagai Gavin Eugene Long, 29, berasal dari Kansas City, Missouri, beritahu satu lagi sumber yang tahu tentang penyiasatan kepada Reuters.


Telah bercerai dan tinggal di kawasan kejiranan kelas pekerja, rekod di Missouri menunjukkan dia tidak mempunyai sejarah atau latar belakang jenayah.


Namun, masih tidak jelas bagaimana Gavin, yang berpakaian serba hitam, boleh berada di Baton Rouge, tempat di mana dia ditembak mati oleh polis pada hari lahirnya yang ke-29, menurut laporan media.

Bandar ini telah menjadi perhatian untuk protes selepas polis menembak mati Alton Sterling, seorang lelaki berkulit hitam, di luar sebuah kedai serbaneka di sana pada 5 Julai.


Sebuah laman web, akaun media sosial dan video di YouTube berkaitan Gavin turut mengandungi komen-komen mengenai penyalahgunaan polis Amerika terhadap warga Amerika kulit hitam dan menunjukkan dia telah menyertai tunjuk perasaan di Dallas, di mana bekas anggota Tentera Simpanan AS berkulit hitam membunuh lima pegawai, dua hari selepas kematian Sterling.


Gavin telah berkhidmat dengan tentera marin dari Ogos 2005 hingga Ogos 2010, dan dinaikkan ke pangkat sarjan, menurut timbalan pegawai hal ehwal awam bagi tentera marin AS, Yvonne Carlock.


Gavin dikerah ke Iraq dari Jun 2008 hingga Januari 2009.

CBS News melaporkan bahawa dia telah meninggalkan tentera marin dengan pelepasan, tetapi Carlock tidak mengesahkan maklumat itu.

Rekod awam menunjukkan Gavin pernah tinggal di Kansas City dan Grandview, Missouri, serta San Diego dan Tuscaloosa, Alabama.

Dia menceraikan isterinya pada tahun 2011, tanpa anak, mengikut rekod mahkamah Missouri. Rumah di alamat terakhir bekas isterinya itu kosong pada Ahad.

Tiada saudara-mara Gavin dapat dihubungi melalui telefon.

Dia telah belajar di University of Alabama selama satu semester pada musim bunga 2012 dan tersenarai dalam anugerah dekan kerana pencapaian akademiknya, kata jurucakap universiti Monica Watts.
kes tembak, Gavin Eugene Long

Artikel Lain