suria

Cubaan Lima Jam Rampasan Kuasa Di Turki Gagal

Anggota tentera mengawal keadaan di Turki selepas rampasan kuasa dilancarkan. FOTO: AFP
ANKARA: Tentera Turki melancarkan rampasan kuasa di negara ini pada Jumaat, dengan tentera mengawal jalan-jalan utama di Ankara dan Istanbul.

Bagaimanapun percubaan rampasan kuasa itu hanya bertahan selama lima jam sahaja.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berikrar pihak yang merampas kuasa akan membayar "harga yang sangat tinggi" bagi menjayakan rampasan kuasa itu.

Jet-jet pejuang kelihatan terbang rendah di ibu negara manakala orang ramai mendapatkan perlindungan di rumah masing-masing.

Wartawan AFP melaporkan,  letupan kuat berlaku pada malam Jumaat  walaupun ia tidak jelas apa yang menyebabkan letupan itu terjadi.

Jeneral tentera Turki,  Hulusi Akar menjadi tahanan di ibu pejabat tentera di ibu negara Ankara selepas percubaan untuk menjatuhkan kerajaan, lapor agensi berita Anadolu.

Stesen penyiar TRT pula melaporkan tentera telah mengisytiharkan undang-undang tentera dan perintah berkurung, dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai "Majlis Keamanan Tanah Air".

Jambatan Bosphorus dan Fatih yang menghubungkan antara Asia dan Eropah telah ditutup.

"Kuasa di negara ini telah dirampas secara keseluruhan," kata satu kenyataan tentera dipetik oleh media Turki.

Ia berkata rampasan kuasa itu telah dilancarkan untuk memastikan dan mengembalikan perintah perlembagaan, demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan dan membiarkan keluhuran undang-undang di negara ini diguna pakai, selain memulihkan apa-apa perkara yang menggugatkan negara.

"Bagaimanapun semua perjanjian dan komitmen antarabangsa masih dikekalkan seperti biasa dan berharap hubungan baik dengan negara-negara lain akan terus berkekalan,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu Erdogan menggesa orang ramai untuk turun ke jalan bagi menentang rampasan kuasa yang dilancarkan.

"Saya percaya bahawa komplot rampasan kuasa tidak akan Berjaya. Saya menggesa rakyat Turki untuk berhimpun di dataran awam dan lapangan terbang. Saya tidak pernah percaya kepada kuasa yang lebih tinggi daripada kuasa rakyat,” katanya ketika bercakap melalui telefon mudah alih dalam reaksi pertamanya selepas rampasan kuasa dilakukan angkatan tentera Turki.

Erdogan berkata beliau masih presiden dan ketua komander Turki dan memaklumkan bahawa pihak yang melakukan komplot akan membayar "harga yang sangat tinggi" bagi menggulingkan kerajaan.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa presiden sedang bercuti di resort Mediterranean di Marmaris.

Siaran televisyen menunjukkan kereta kebal dikerahkan di luar lapangan terbang Ataturk di Istanbul. Laporan menyatakan bahawa penerbangan ke lapangan terbang itu telah dihentikan.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah diberi taklimat, dengan jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Amerika Syarikat iaitu Ned Price berkata pasukan keselamatan negara telah memaklumkan kepadanya tentang keadaan yang berlaku di Turki.

Kesatuan Eropah (EU) pula diminta agar menghormati institusi demokrasi di Turki manakala jirannya Greece pula akan mengikuti kejadian berkenaan dengan teliti.

Sementara itu Perdana Menteri, Binali Yildirim berkata, satu kumpulan dari dalam tentera telah digunakan untuk cubaan melakukan rampasan kuasa namun beliau tidak mengulas lanjut. - AFP

Turki

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain