suria

25 Maut Tren Penumpang Bertembung Di Itali

BARI, Itali: Sekurang-kurangnya 25 maut manakala berpuluh-puluh lagi cedera apabila tren penumpang bertembung di selatan Itali.

Tiga gerabak tergelincir akibat dentuman kuat selepas dua keretapi itu bertembung antara satu sama lain ketika melalui trek yang menghubungkan bandar kecil di Corato dan Andria di tenggara Puglia.

Pasukan penyelamat memberitahu angka kematian meningkat kepada 25 orang pada petang Selasa dan percaya jumlah akan bertambah memandangkan 50 penumpang mengalami kecederaan serius.

Pihak berkuasa turut menggesa penderma darah untuk pergi ke hospital berdekatan.

Tiada petunjuk diperoleh serta merta mengenai punca kemalangan terburuk membabitkan tren penumpang di Itali sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun pihak berkuasa Itali berjanji untuk melakukan siasatan penuh dengan teliti dan cepat.

"Takziah kepada keluarga mangsa. Kami menuntut penjelasan mengenai apa yang berlaku di Puglia, awal pagi Selasa," kata Perdana Menteri Matteo Renzi menerusi Twitter.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan dalam keadaan cuaca panas.

Kedua-dua tren mempunyai empat gerabak.

Gerabak bahagian hadapan rosak teruk susulan rempuhan yang kuat.

Sky Itali TV berkata salah seorang pemandu tren meninggal dunia manakala nasib seorang lagi pemandu tidak diketahui.

tren penumpang, Itali, kemalangan, maut

Artikel Berikut

Artikel Lain