suria

Hari Bekerja Tidak Halang Rakyat Malaysia Di AS Sambut Aidilfitri

WASHINGTON DC: Sambutan Aidilfitri pada Rabu, iaitu hari bekerja di sini, tidak menghalang hampir 300 rakyat Malaysia berkumpul untuk menyambut kedatangan 1 Syawal di Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Kebanyakan mereka mengambil cuti pada hari tersebut untuk bersama rakan senegara bersama bertakbir, mengerjakan solat sunat dan mendengar khutbah Aidilfitri yang diimamkan pegawai di pejabat kedutaan itu, Hijaz Mohd Ramli.

Duta Besar Malaysia, Datuk Dr Awang Adek Hussin turut bersama-sama rakyat Malaysia menunaikan solat sunat Aidilfitri dan beramah mesra sambil menikmati pelbagai juadah yang dihidangkan seperti nasi beriani, kambing golek, roti jala, lemang, ketupat, rendang, kari daging dan kuih-muih pada sambutan itu.

Selain itu, sambutan Aidilfitri itu turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa duta besar dari negara-negara ASEAN yang berpejabat di ibu negara Amerika Syarikat ini.

Awang Adek berkata walaupun Aidilfitri jatuh pada hari bekerja, namun banyak rakyat Malaysia yang tinggal di sekitar Virginia, Maryland dan Washington DC mengambil kesempatan bersama berkumpul merayakan hari kemenangan umat Islam itu selepas sebulan berpuasa.

Dalam pada itu, sambutan Aidilfitri tahun ini menyaksikan bilangan kehadiran penuntut Malaysia dari beberapa universiti di negara itu, tidak ramai kerana kebanyakan mereka sedang menduduki ujian akhir semester.

Untuk tidak menghampakan pelajar, pejabat kedutaan itu telah mengadakan sambutan Majlis Berbuka Puasa Perdana pada Sabtu terakhir Ramadan bagi memberi kesempatan kepada lebih 120 pelajar berkumpul meraikan sambutan awal Aidilfitri.

Sementara itu, beberapa pelajar Malaysia, yang ditemui, menyambut baik penganjuran majlis berbuka puasa itu dengan berkata ia memberi kesempatan kepada mereka merasakan suasana sambutan Aidilfitri walaupun diadakan awal beberapa hari.

Wakil pelajar, Ihsan Nordin berterima kasih kepada Duta Besar dan pegawai yang bertungkus lumus meraikan pelajar yang tidak dapat meraikan sambutan Aidilfitri pada majlis berbuka puasa perdana itu.

Bagi Fairuz Hidayah Hasnan dan Nur Kamilia Abdul Rani yang terpaksa menempuh penerbangan enam jam untuk ke majlis yang diadakan beberapa hari awal daripada perayaan itu, sambutan itu menggembirakan mereka kerana dapat bersama pelajar dan masyarakat Malaysia.

"Ini sambutan Aidilfitri pertama kami di Amerika, walaupun sedih apabila memikirkan berjauhan bersama keluarga tetapi majlis ini sedikit membantu menghilangkan rasa kesedihan," kata Fairuz Hidayah yang baru 10 bulan belajar di sebuah universiti di bandar Seattle itu.

Bagi Tharmelinggem Pillai, yang berasal dari Kuala Lumpur, perjalanan empat jam dari selatan Virginia ke Washington DC tidak menghalang beliau menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan senegaranya di pejabat kedutaaan Malaysia itu. -  BERNAMA


Aidilfitri, Amerika Syarikat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain