suria

Empat Polis Maut Ditembak Penyerang Hendap

WASHINGTON: Empat anggota polis mati ditembak kumpulan penembak hendap ketika bantahan meletus di pinggir bandar Dallas susulan pembunuhan lelaki berkulit hitam yang ditembak polis di Minnesota dan Louisiana, minggu ini.

Ketua Polis Dallas, David Brown dalam satu kenyataan berkata dua penembak hendap melepaskan tembakan ke arah 11 anggota polis dengan empat daripada mereka terbunuh.

"Empat anggota polis maut, dua lagi perlu menjalani pembedahan dan tiga lagi dalam keadaan kritikal.

"Gerakan memburu suspek kini digerakkan secara intensif," katanya.

Sebelum itu, seorang pegawai di lokasi kejadian berkata sekurang-kurang dua anggota polis ditembak tetapi keadaan mereka tidak diketahui, laporan stesen televisyen KDFW.

Stesen tersebut memetik sumber polis sebagai berkata kira-kira tiga atau empat anggota ditembak tanpa mendedahkan keadaan mereka yang cedera.

Polis berkata seorang suspek berjaya ditembak dan suspek kedua yang berada di garaj tempat letak kereta memakai jaket kalis peluru, lapor stesen tersebut.

Ratusan orang menyertai perhimpunan bantahan di Dallas yang berakhir sebelum tembakan dilepaskan kira-kira pukul 9 malam.

Saksi melaporkan berpuluh-puluh bunyi tembakan kedengaran seperti dilepaskan dari senapang api separa automatik.

Dallas, polis, maut, tembakan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain