suria

Zakir Naik Anggap ISIS Tidak Islamik

DHAKA: Pendakwah terkemuka dari India, Dr Zakir Naik berkata, istilah Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) tidak Islamik, demikian lapor The Indian Express.

Zakir, 50 yang juga pengasas Yayasan Kajian Islamik berpangkalan di Mumbai menganggap penggunaan nama Negara Islam itu juga lebih disifatkan kepada tindakan mengutuk Islam.

"Mereka telah membunuh rakyat asing yang tidak bersalah dan menggunakan nama yang diberi musuh Islam," katanya.

Mengenai serangan di Dhaka yang dikatakan diinspirasikan daripada ceramahnya, Zakir berkata, beliau mempunyai 14 juta pengikut di Facebook, selain 200 juta mengikutinya di Peace TV yang menggunakan pelbagai bahasa termasuk Urdu, Bengali dan Cina.

"Peratusan terbesar di Facebook saya adalah dari Bangladesh.

"Sebanyak 90 peratus warga Bangladesh mengenali saya, termasuk ahli politik, dermanwan, selain rakyat biasa termasuk pelajar. Selain itu, 50 peratus lagi adalah peminat saya. Apakah saya terkejut penyerang mengenali saya? Tentu tidak," katanya.

Bagaimanapun, katanya, situasi ini tidak bermakna beliau bersetuju dengan kaedah yang dilakukan kumpulan pengganas itu.

Sambil menyatakan ramai yang mendekati Islam kerana dirinya, beliau berkata, golongan itu kemudiannya turut mengikut ceramah yang disampaikan pendakwah lain yang ada di antaranya menggunakan Islam untuk mengelirukan ramai pihak.

Mengenai saranan beberapa negara untuk mengharamkan beliau menyampaikan ceramah, kata Zakir, perkara itu adalah gerak kerja di kalangan penganut Hindu yang fanatik.

Beliau berkata, ada di kalangan pengikutnya di Facebook juga yang menghadiri ceramahnya termasuk bukan Islam.

Malahan, setiap kali berceramah, beliau menggalakkan bukan Islam bertanya soalan bagi menjelaskan sebarang persoalan dan menangani sebarang ancaman di kalangan pihak yang fanatik itu.

Bekas doktor perubatan itu pernah beberapa kali mencetuskan kontroversi termasuk pada 2010 apabila kerajaan British menarik visa dan menghalangnya memasuki negara itu.

Antara suspek pengganas yang dikatakan peminat Zakir termasuk Najibulla Zazi yang terlibat dengan pengeboman di New York dan ditahan pada 2009, Dr Kafeel Ahmed yang terlibat dalam serangan di lapangan terbang Glasgow pada 2007 dan Rahil Sheikh dari Mumbai yang ditahan kerana siri letupan pada 2011.

Artikel Lain