suria

Angkasawan British Terima Anugerah Ketika Di Angkasa Lepas

ANGKASAWAN British, Tim Peake mencipta rekod peribadi apabila menjadi individu pertama menerima darjah kebesaran sempena ulang tahun kelahiran Ratu Elizabeth ketika berada di angkasa lepas.

Peake, 44, kini berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) apabila menerima panggilan memaklumkan namanya dicadangkan untuk anugerah itu.

Tujuh hari sebelum kepulangannya ke Bumi, beliau dengan gembira berkata, darjah kebesaran itu ditujukan kepada semua pihak yang membantu memastikan misinya menjadi realiti.

Menerusi mesej yang dihantar dari ISS itu, katanya: "Saya berbesar hati kerana menerima darjah kebesaran ini kerana sumbangan luar biasa di luar planet Bumi.

"Anugerah ini bagi mengiktiraf semua kakitangan yang terlibat dalam latihan dan persediaan untuk membolehkan saya melihat Bumi dari orbit, sekali gus menjayakan misi ini, selain bekerjasama tanpa sempadan untuk membina, mengendali dan mengekalkan pusat saintifik di angkasa lepas ini.

"Saya hanya seorang yang diberi peluang untuk bersama pasukan juruteknik, saintis, jurutera, pelatih dan pengarah penerbangan yang bekerjasama untuk meneroka sistem solar untuk manfaat penduduk dunia.

"Jadi, anugerah ini untuk mereka," katanya.

Berpangkat Mejar, beliau diiktiraf kerana khidmatnya dalam penyelidikan angkasa lepas dan pendidikan saintifik itu menjadi warga British pertama berjalan di angkasa lepas pada 15 Januari.

Katanya, kemuncak misi yang bermula Disember lalu itu adalah apabila dia berpeluang berjalan di angkasa lepas.

Bapa kepada dua cahaya mata lelaki itu adalah graduan Sandhurst pada 1992 sebelum ke Amerika Syarikat (AS) untuk program pertukaran pegawai dengan pihak tentera AS selama tiga tahun bermula 1999.

Peake dilantik Duta Sains dan Kerjaya Angkasa Lepas United Kingdom pada 2009, juga dipilih sebagai angkasawan pada Mei tahun sama dan menamatkan latihan asas pada November 2010.

Anak kelahiran Chichester itu dijangka pulang ke Bumi pada 18 Jun ini dan berhasrat menghabiskan masa bersama keluarganya iaitu isteri, Rebecca dan anaknya, Thomas dan Oliver.

Tim Peake, ISS, Ratu Elizabeth

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain