suria

Penumpang Mabuk Ditahan Ancam Bunuh Teman Wanita, Anak Dalam Pesawat

SEORANG penumpang mabuk warga Britain ditahan selepas didakwa menganggu penumpang lain dan mengancam untuk membunuh teman wanita dan anaknya dalam pesawat Easyjet.

Pada Selasa, polis menahan lelaki berkenaan di lapangan terbang Corfu, Greece selepas dia minum sebotol minuman keras sepanjang penerbangan EZY1977 dari Manchester ke Greece.

Saksi memberitahu, lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai dari Liverpool menikmati minuman kerasnya sendiri yang dibawa bersama ke dalam kabin menggunakan bagasi tangan.

Bercakap kepada penumpang yang pulang ke United Kingdom menggunakan pesawat yang sama, juruterbang menyifatkan insiden berkenaan sebagai "mimpi ngeri".

Katanya: "Kami mengalami mimpi ngeri. Lelaki itu mengancam kru kabin kami, saya dan para penumpang. Dan dia kemudiannya mengancam untuk membunuh teman wanitanya dan anak-anak yang turut bersama dalam penerbangan itu."

Polis di Corfu menahan suspek sebaik pesawat itu mendarat di pulau pada Selasa.

Seorang jurucakap penerbangan berkata: "Easyjet mengesahkan bahawa penerbangan EZY1977 dari Manchester ke Corfu pada 7 Jun berdepan dengan insiden seorang penumpang yang bertindak di luar kawalan semasa dalam penerbangan tetapi ditangani pihak polis apabila pesawat tersebut tiba di Corfu." - Mirror

Artikel Lain