suria

Wanita Singapura Maut Jatuh Tebing Di Australia

SINGAPURA: Seorang pelajar yang berasal dari Singapura meninggal dunia pada Selasa selepas jatuh pada ketinggian 30 meter dari tebing Blue Mountains, Australia.

Cheng Shi Min, 29, hilang keseimbangan selepas tergelincir ketika cuba untuk melihat dari tepi air terjun berkenaan, demikian menurut teman lelakinya, Henry Yendle yang memberitahu media Australia.

Pasangan itu melakukan pendakian bersama bapa Cheng ketika kemalangan itu berlaku pada kira-kira pukul 1.30 petang.

"Pertama sekali saya terdengar jeritan dan diikuti bunyi hentaman kuat," kata Yendle.

Kedua-duanya bergegas ke kaki air terjun di mana mereka menemui Cheng dalam keadaan tertiarap di Empress Falls.

Yendle kemudian terjun ke dalam air namun dia mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menarik Cheng keluar.

"Kami bernasib baik kerana ada orang lain di lokasi berhampiran. Saya menjerit ambulans," katanya.

Apabila pasukan penyelamat tiba, mereka stabilkan keadaan Cheng dan meletakkan dia dalam keadaan koma.

Paramedik menghabiskan beberapa jam merawat kepala dan dada Cheng yang mengalami kecederaan parah, demikian lapor The Sydney Morning Herald.

Seorang anggota menyelamat tempatan berkata cuaca buruk menyukarkan usaha menyelamat termasuk angin kencang yang menghalang helikopter mendarat berhampiran Cheng.

Polis, paramedik dan pasukan penyelamat terpaksa membawa dia menggunakan pengusung selama dua jam untuk sampai ke puncak gunung dengan berjalan kaki.

Pada kira-kira pukul 8 malam Cheng tiba di Hospital Westmead, tetapi dia meninggal dunia pada keesokan harinya akibat kecederaan teruk.

Blue Mountains, Cheng Shi Min

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain