suria

Dua Pesawat Nyaris Berlanggar Di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon

SINGAPURA: Sebuah pesawat Singapore Airlines nyaris berlanggar dengan sebuah pesawat Korean Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Seoul pada Khamis lalu, lapor media tempatan.

Namun insiden itu berjaya dielakkan apabila pengawal trafik udara mengarahkan pesawat SQ16 menuju ke San Francisco berhenti secara mengejut selepas pesawat dengan nombor penerbangan KE929 dengan tiba-tiba bergerak perlahan-lahan dekat persimpangan landasan tanpa kebenaran.

Pesawat Singapore Airlines dengan nombor penerbangan SQ16 itu dilaporkan bergerak dengan kelajuan antara 90 dan 100 kilometer sejam kerana ia bersedia untuk berlepas kira-kira pukul 5.50 petang.

Sebagai respons kepada pertanyaan media, seorang jurucakap SIA berkata SQ16 terpaksa berhenti secara mengejut selepas menerima arahan daripada pusat kawalan trafik udara.

"Insiden itu menyebabkan beberapa tayar pesawat jenis Boeing 777-300ER itu kempis dan penumpang terpaksa turun dari pesawat di atas landasan tersebut," kata jurucakap itu.

Seramai 186 penumpang dan 18 anak kapal berada di dalam pesawat tersebut.

Menurut sumber, Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan sedang menyiasat punca kemalangan dan laporan akan dikeluarkan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.


Artikel Berikut

Artikel Lain