suria

Pesawat Berlanggar Ditahan, Ketua Operasi Lapangan Terbang Diarah Pindah

JAKARTA: Kedua-dua pesawat Batik Air dan TransNusa yang berlanggar di landasan Lapangan Terbang Halim Perdanakusumu, Jakarta Timur pada Isnin malam telah ditahan untuk tujuan pemeriksaan.

Kejadian itu juga menyebabkan ketua operasi lapangan terbang terlibat telah diarah berpindah ke Lapangan Terbang Kualanamu, Medan.

Arahan itu dikeluarkan Menteri Pengangkutan, Ignasius Jonan.

Beliau yang berada di Wasior, Papua barat juga mengarahkan Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) supaya memulakan siasatan terperinci berhubung insiden itu.

Siasatan termasuk kawalan trafik udara, Airnav Indonesia dan kakitangan yang bertugas di landasan lapanan terbang itu ketika kejadian berlaku.

"Pesawat ditahan untuk pemeriksaan lanjut, manakala premit untuk pengendalian di landasan digantung dan tugas berkenaan akan diambil alih kakitangan lain sehingga KNKT mengemukakan saranan terbaharu," katanya.

Pelanggaran yang berlaku pada pukul 7.55 malam itu menyebabkan sayap kiri kedua-dua pesawat terlibat rosak.

Pesawat Batik Air, penerbangan 7703 dijadualkan berlepas dari Jakarta ke Makasar, Sulawesi Tenggara.

Batik Air ialah syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dan sebuah anak syarikat Lion Air.

Dalam kenyataan Lion Air, pesawat Batik Air telah dibenarkan untuk berlepas oleh pengawal lapangan terbang, tetapi bertembung dengan pesawat Transnusa yang sedang ditunda oleh traktor.

Juruterbang Batik Air kemudian memutuskan untuk membatalkan penerbangan untuk memastikan keselamatan penumpang.

Seramai 49 penumpang dan 7 anak kapal di atas kapal dan semua dipindahkan melalui slaid kecemasan pesawat.

Tiada laporan kecederaan dalam kejadian itu.

"Berkaitan dengan kejadian itu, kita sedang menunggu hasil siasatan daripada pihak berkuasa yang berkaitan," kata Presiden Lion Air Group, Edward Sirait.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain