suria

Enam Ditahan Bantu Siasatan Letupan Brussels, Plot Serangan Di Paris Tumpas

Polis Belgium mengawal pintu masuk sebuah bangunan apartment di Schaerbeek ketika menjalankan operasi siasatan pengeboman di Brussels. -fotoREUTERS
BRUSSELS: Polis Belgium telah menahan enam orang dalam siasatan mereka terhadap serangan pengebom berani mati militan Negara Islam (IS) di Brussels, pada Selasa.

Dalam masa yang sama pihak berkuasa di Perancis berkata mereka telah menggagalkan plot militan di sana 'yang berada pada tahap kemajuan tinggi'.

Pejabat pendakwa persekutuan di Belgium pada Khamis berkata bahawa penahanan itu dibuat semasa polis melakukan serbuan di kawasan-kawasan perumahan di Schaerbeek utara Brussels dan Jette di bahagian barat serta di tengah-tengah ibu negara Belgium.

Penangkapan dibuat beberapa hari selepas pengebom berani mati meletupkan Lapangan Terbang Brussels dan stesen kereta api metro, yang membunuh sekurang-kurangnya 31 orang dan mencederakan 270 orang dalam serangan yang paling teruk dalam sejarah Belgium.

Serangan di Brussels, yang merupakan 'rumah' kepada Kesatuan Eropah dan NATO, telah meningkatkan kebimbangan keselamatan di seluruh dunia dan menimbulkan persoalan mengenai tindakan balas negara-negara Eropah terhadap ancaman daripada pelampau Islam.

Kumpulan militan IS mendakwa bertanggungjawab bagi pengeboman Brussels, serta serangan terancang di Paris pada November yang membunuh 130 orang di kafe, stadium sukan dan dewan konsert.

Di Paris, pada Khamis, pihak berkuasa menahan seorang warganegara Perancis yang disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian militan yang sedang merancang plot serangan di Perancis.

Menteri Dalam Negeri Perancis Bernard Cazeneuve berkata dalam ucapan di televisyen bahawa penangkapan itu membantu 'menggagalkan plot di Perancis yang berada pada tahap kemajuan yang tinggi'.

Cazeneuve berkata lelaki yang ditangkap 'disyaki mempunyai penglibatan peringkat tinggi dalam rancangan ini. Dia merupakan sebahagian daripada rangkaian pengganas yang merancang untuk menyerang Perancis'.

Selepas tangkapan itu dibuat oleh perkhidmatan anti keganasan Perancis, agensi DGSI  menyerbu sebuah apartmen pada malam Khamis di Argenteuil, pinggir bandar utara Paris.

Stesen TV Perancis iTele melaporkan bahawa bahan letupan telah ditemui di rumah lelaki itu.

"Pada peringkat ini, tidak ada bukti nyata yang mengaitkan plot ini kepada serangan di Paris dan Brussels," kata Cazeneuve, yang berada di ibu negara Belgium awal pagi Khamis.
serangan Brussels, plot serangan

Artikel Lain