suria

Remaja Afrika Selatan Dakwa Temui Serpihan Dipercayai Milik MH370

Serpihan pesawat yang dijumpa seorang remaja warga Afrika Selatan.

JOHANNESBURG: Seorang remaja warga Afrika Selatan menjumpai serpihan yang akan dihantar ke Australia untuk pemeriksaan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap misteri kehilangan pesawat penerbangan Malaysia (MH370) dua tahun lalu, kata Lembaga Penerbangan Awam Afrika Selatan (SACAA) pada Jumaat.

Liam Lotter, 18, memberitahu radio Pantai Timur Afrika Selatan bahawa dia menjumpai serpihan di sebuah pantai di Mozambique ketika bercuti pada Disember tahun lalu.

Malah, keluarganya turut membawa serpihan tersebut ke rumah mereka di Afrika Selatan.

Beliau berkata selepas beberapa serpihan pesawat MH370 ditemui di Mozambique minggu lalu, keluarganya tampil mendedahkan penemuan mereka.

Kepingan logam berwarna putih itu kini diperiksa pegawai di Australia dengan bantuan pihak berkuasa Malaysia dan wakil pengeluar Boeing Co.

Pihak berkuasa Afrika Selatan turut merancang untuk menyerahkan semula serpihan ditemui Lotter kepada pasukan dari Australia.

"Kami sedang menyusun serpihan yang kemudiannya dihantar ke Australia kerana mereka individu dilantik Malaysia untuk mengenal pasti penemuan tersebut," kata jurucakap SACAA, Kabelo Ledwaba.

Penerbangan MH370, bersama 239 penumpang dan anak kapal, hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2014.

Bangkai pesawat itu belum dijumpai walaupun operasi mencari secara besar-besaran dilancarkan di selatan Lautan Hindi, kawasan penerbangan pesawat Boeing 777-200ER itu telah berakhir selepas melencong dari laluan asal.

Serpihan flaperon dijumpai pada Julai tahun lepas di Pulau Reunion, milik Perancis dan pada 6 Ogos tahun lepas, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa ia milik MH370.

Awal bulan ini, sebahagian daripada objek dipercayai dari pesawat Boeing 777 dilaporkan dijumpai dekat pantai Mozambique dan pada Isnin lalu, satu lagi serpihan dijumpai di Pulau Reunion, yang juga dikaitkan dengan pesawat MH370.

MH370, serpihan, Afrika Selatan

Artikel Sebelum

Artikel Lain