suria

Gempa Tainan: 14 Maut, 132 Mangsa Masih Terperangkap

Anggota penyelamat berusaha keras untuk mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap.

TAINAN: Kira-kira 132 mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan menara pangsapuri di Taiwan yang runtuh dalam gempa bumi kuat awal pagi Sabtu, kata pegawai kerajaan.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding anggaran awal pihak berkuasa.

Pasukan penyelamat meneruskan usaha menyelamat di bangunan 17 tingkat di Tainan menggunakan anjing pengesan dan peralatan akustik, mencari petanda ada mangsa yang masih hidup.

Pasukan penyelamat percaya 29 daripada mangsa terperangkap lebih mudah diselamatkan berbanding bakinya yang tertimbus jauh di dalam runtuhan.

Sekurang-kurangnya 14 disahkan maut dalam insiden gempa bumi berukuran 6.4 magnitud yang menggegar bandar Tainan.

Akibat gegaran itu empat bangunan dilaporkan runtuh.

Menurut Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu melanda pada kedalaman 10 kilometer kira-kira jam 2000 GMT pada Jumaat, 39 kilometer timur laut Kaohsiung, bandar kedua terbesar di pulau itu dan juga pelabuhan penting.

Gempa itu pada mulanya dilaporkan 6.7 magnitud tetapi diturunkan kepada kepada 6.4.

Sehubungan itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, kejadian tsunami tidak dijangka berlaku di sekitar kawasan Pasifik.

Taiwan terletak di persimpangan dua plat tektonik dan biasa dilanda gempa bumi.

Sementara itu, gempa bumi kuat 6.3 magnitud pernah melanda tengah Taiwan pada Jun 2013 yang menyebabkan empat orang terkorban dan mengakibatkan tanah runtuh.

Gempa bumi berukuran 7.6 magnitud pula pernah melanda pulau itu pada September 1999 dan mengorbankan kira-kira 2,400 nyawa.
gempa Tainan

Artikel Berikut

Artikel Lain