suria

Kata Laluan Paling Teruk Tahun 2015

SINGAPURA: Kata laluan yang lemah, menggunakan perkataan yang sama untuk laman web yang berbeza dan tabiat melayari Internet yang tidak selamat memudahkan seseorang penjenayah siber mencuri data peribadi, demikian menurut pakar keselamatan siber.

Isnin lalu, seorang bekas pembantu tadbir mengaku menggodam kata laluan bagi 300 pemegang akaun SingPass dan menjual butiran peribadi mereka kepada sindiket berpangkalan di China untuk menghasilkan permohonan visa Singapura.

James Sim Guan Liang, 39, melakukan puluhan ribu percubaan untuk meneka kata laluan selepas menyedari bahawa sesetengah orang gemar menggunakan nombor kad pengenalan sebagai kata laluan SingPass mereka - yang juga kebetulan turut digunakan sebagai 'nama pengguna' mereka.

Senarai kata laluan yang paling tidak selamat digunakan.
Serangan siber sebegini hanya boleh dilakukan jika seseorang itu memilih satu perkataan yang dikaitkan dengan maklumat peribadi mereka - mungkin termasuk perkara-perkara yang mereka kongsikan di media sosial.

"Kadang-kadang jawapan kepada soalan keselamatan bagi menetapkan semula kata laluan boleh diambil dengan mudah daripada data peribadi seseorang," kata Vicky Ray, seorang penganalisis ancaman risikan daripada firma keselamatan rangkaian Palo Alto Networks.

"Ini boleh menjadi jawapan kepada soalan-soalan seperti: Di mana anda bersekolah? Maklumat tersebut boleh didapati dari LinkedIn atau Facebook."

Ia adalah salah satu daripada banyak cara yang digunakan untuk menggodam kata laluan.

Satu lagi adalah dengan menggunakan kata laluan yang lemah atau biasa, seperti yang disenaraikan sebagai "kata yang paling teruk di dunia".

Senarai itu diterbitkan pada minggu lepas oleh firma pengurusan kata laluan SplashData yang menganalisis lebih daripada 20 juta kata laluan global yang bocor sejak tahun lepas.

Senarai itu diungguli oleh perkataan seperti '123456, 'password' dan 'qwerty' - iaitu lima huruf pertama pada baris atas papan kekunci biasa.

Selain itu terdapat juga kata laluan seperti 'star wars, 'solo' dan 'princess' susulan filem terbaharu Star Wars.

Artikel Berikut

Artikel Lain