suria

Daesh Gagal Kembangkan Ideologi Di Selatan Thailand

BANGKOK: Cubaan militan Daesh untuk menyebarkan ideologi mereka dalam kalangan umat Islam di wilayah selatan Thailand yang mengalami pergolakan, tidak berhasil.

"Setakat ini, tiada bukti menunjukkan mereka berjaya mewujudkan unit seperti pejuang pembebasan di selatan (Thailand). Ia masih kekal sebagai suatu idea," kata seorang pakar mengenai hal ehwal selatan Thailand, Prof Dr Jaran Maluleem.

Beliau memberitahu Bernama bahawa sebab utama Daesh gagal menawan hati dan minda umat Islam ialah kebencian penduduk terhadap kekejaman yang dilakukan mereka.

Selain itu, perjuangan umat Islam Thailand adalah lebih bersifat perjuangan setempat, bukan perjuangan keagamaan, katanya.

Jaran, yang menyandang jawatan profesor sains politik di Thammasat University, Bangkok, berkata usaha Daesh untuk merekrut umat Islam Thailand sebagai anggotanya bermula tahun lepas.

Katanya dalang utama yang memainkan peranan untuk merekrut anggota kumpulan militan itu ialah seorang "tokoh agama" yang sering memberi ceramah untuk menyebarluaskan ajaran Daesh.

Kata Jaran lagi: "Saya dimaklumkan bahawa orang itu secara terang-terangan berkata kita perlu mendoakan agar IS (Daesh) kembali bangun untuk berperang (dengan imperialisme Barat). Dia ingin menghasut orang ramai supaya memberi sokongan (kepada Desh).

"Dia juga muncul dalam satu program yang disiarkan sebuah stesen televisyen di selatan Thailand."

Menurut Jaran, pada mulanya, ramai juga yang tertarik kepada Daesh, tetapi apabila kumpulan itu sering melakukan kekejaman, terutama terhadap orang awam, pengaruhnya mula merosot.

"Umat Islam di selatan sekali-kali tidak boleh menerima keganasan," katanya.

Jaran, yang pernah menjadi penasihat hal ehwal umat Islam kepada bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, ditemu bual selepas berucap pada  seminar bertajuk "Keganasan, dari Paris ke Jakarta" di universiti itu.

Selepas berlakunya peristiwa serangan di Jakarta, yang dipercayai angkara sebuah kumpulan tempatan yang bersekutu dengan Daesh dikenali sebagai "Katibah Nusantara", pihak berkuasa Thailand dikatakan bimbang wilayah di selatan Thailand akan menjadi sarang kumpulan pengganas.

Kebimbangan mereka meningkat apabila tersiar laporan yang mendakwa tiga individu, yang disyaki mempunyai hubungan dengan Daesh, mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin agama di Narathiwat akhir tahun lepas.

Media tempatan memetik Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha sebagai berkata beliau meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

Menurut media tempatan, sumber perisikan mengenal pasti tiga suspek berkenaan sebagai seorang rakyat Indonesia, seorang rakyat Malaysia dan seorang rakyat Singapura, yang memberi derma kepada sebuah masjid tempatan dan memintanya menyampaikan ajaran Daesh kepada pelajar Daesh.

Jaran berkata, walaupun Daesh menemui kegagalan di wilayah selatan Thailand, namun beliau bimbang kumpulan pengganas itu tidak akan menghentikan cubaannya untuk menyebarkan ideologi sesat mereka di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Brunei.

Daesh, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain