suria

Kematian Pelajar Malaysia Di India: Polis Tahan Pemandu Bas

- Gambar hiasan
NEW DELHI: Polis Karnataka di Selatan India menahan seorang pemandu bas persendirian untuk membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan dua pelajar perubatan, termasuk seorang rakyat Malaysia pada Rabu.

Konsul Pendidikan dan Latihan di Pejabat Konsulat Jeneral di Chennai, Sahubar Ibrahim Ismail Gani ketika dihubungi pada Jumaat, mengesahkan penahanan itu.

S. Uthaya Kumar, 23, pelajar Kolej Perubatan Melaka-Manipal (MMMC) membonceng motosikal bersama seorang pelajar tempatan.

Pelajar dari India itu mati di tempat kejadian, manakala Uthaya dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke sebuah hospital di Chiradurga, kira-kira 250km dari Bangalore, Karnataka.

Sahubar Ibrahim memberitahu Bernama bapa Uthaya dan seorang anggota keluarga tiba di Bangalore kira-kira 5 petang untuk membantu membawa pulang jenazahnya ke Malaysia.

Sahubar Ibrahim berkata beliau dan seorang lagi pegawai dari Pejabat Konsulat Jeneral telah membantu keluarga terbabit.

"Bedah siasat telahpun selesai dan kami sedang membuat persiapan untuk membawa jenazah Uthaya ke Bangalore, dan jenazahnya dijangka tiba di Malaysia pada awal pagi Ahad," katanya.

Difahamkan, Uthaya meninggalkan Manipal bersama konvoi penunggang motosikal daripada sebuah kelab tempatan, menuju ke Nagpur pada 21 Jan.

Kemalangan berlaku semasa kumpulan itu dalam perjalanan balik ke Manipal.

Sahubar Ibrahim berkata Uthaya adalah pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan beliau dijadual pulang ke Malaysia pada Mac ini, untuk menyambung pengajian di kampus MMMC di Melaka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PRU Thailand Mungkin Ditangguh

Artikel Lain