suria

Indonesia Perlu Tiga Tahun Tangani Isu Kebakaran Hutan, Jerebu - Jokowi

Jokowi ketika meninjau kebakaran hutan di Selatan Sumatera, baru-baru ini.

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo berkata, beliau memerlukan masa untuk menangani masalah kebakaran hutan yang menjejaskan kehidupan rakyatnya akibat jerebu.

"Bagaimanapun, sekurang-kurang tiga tahun diperlukan untuk menampakkan hasil daripada usaha bagi menangani masalah kebakaran setiap tahun kerana ia bukannya sesuatu yang boleh diatasi secepat mungkin," katanya menerusi temubual eksklusif bersama BBC.

Lebih 3,700 anggota tentera, hampir 8,000 pegawai polis serta empat pesawat bom air dikerah untuk mengawal kebakaran hutan di negara itu.

Singapura turut menawarkan bantuan tetapi setakat ini Indonesia belum bersedia menerimanya, begitu juga Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga sedia menghulurkan bantuan.

Indonesia sedang membina terusan dan takungan air dalam hutan khusus untuk bekalan air di kawasan titik panas, kata presiden yang dikenali sebagai Jokowi itu selepas mengadakan lawatan ke Kalimantan bagi meninjau kemusnahan akibat kebakaran hutan minggu lalu.

Beliau menambah, undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kejadian itu juga dikuatkuasakan.

Pada Selasa, Ketua Polis Indonesia, Badrodin Haiti yang menghadiri mesyuarat Menteri Asean di Kuala Lumpur memaklumkan, sebanyak 210 kes kebakaran hutan dicatatkan di Kalimantan dan Sumatera, manakala 40 dijangka akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

"Kamu akan lihat hasilnya nanti dan dalam masa tiga tahun ia dapat ditangani," kata Jokowi.



Jokowi, jerebu, Kalimantan

Artikel Lain