suria

Tsipras Menang Pilihan Raya Greece

Tsipras bersalaman dengan penyokongnya selepas memenangi pilihan raya Greece.

ATHENS: Pemimpin berhaluan kiri Greece, Alexis Tsipras menang pilihan raya negara itu pada Ahad.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Tsipras meraih mandat baharu sebagai Perdana Menteri untuk memacu hala tuju pemulihan ekonomi negara itu yang berdepan masalah kebankrapan.

Malah, menerusi kemenangan itu juga, Tsipras akan terus menjadi tokoh politik negara itu walaupun beliau meletak jawatan selepas dikritik puak radikal dalam partinya pada bulan lalu ekoran tunduk kepada desakan kreditor untuk menerima dana menyelamat.

Pemimpin berhaluan kiri paling lantang bersuara itu dalam ucapannya berikrar akan membawa fasa baharu kestabilan di negara itu.

Greece sudah mengadakan lima pilihan raya umum dalam tempoh enam tahun.

Justeru, beliau berjanji dengan mandat baharu yang diperoleh untuk kekal mentadbir negara itu sehingga akhir penggal.

Bagaimanapun, dalam ucapan itu beliau tidak langsung menyentuh mengenai 85 bilion euro (RM404 bilion) dana menyelamat yang diterima negara itu.

"Laluan di depan kita bukan mudah, tapi asasnya yang akan kita lalui sudah kukuh. Kita tahu mana laluan hendak dituju dan kita tahu kita ada prospek.

"Pemulihan daripada krisis ini tak akan datang dengan mudah, tetapi menerusi kerja keras," katanya.

Sementara itu, Presiden Eurogroup, Jeroen Dijsselbloem, mengucapkan tahniah atas kemenangan Tsipras dan berharap sebuah kerajaan baharu akan segera dibentuk.

Tumpuan kini teralih kepada Tsipras yang dianggap berupaya memulihkan ekonomi Greece.


eknomi, Greece, Alexis Tsipras

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain