suria

Menara Eiffel Ditutup Selepas Suspek Pengganas Dikesan

MENARA Eiffel di Paris ditutup untuk pelawat pada Ahad selepas seorang suspek pengganas dikesan membawa 'sebuah beg sandang besar' di kawasan tumpuan pelancong paling popular Perancis itu.

Portal Mail Online melaporkan skuad polis anti pengganas bersama dengan sebuah helikopter dilihat membuat kawalan dan rondaan di tempat ikonik itu selepas amaran dikeluarkan pada kira-kira pukul 9 pagi (3 petang waktu Malaysia).

"Terdapat laporan mengenai seorang lelaki membawa beg sandang," kata sumber polis yang membantu proses pemindahan di menara tersebut.

Lelaki yang tidak dikenali itu dilihat berada di Menara Eiffel sekurang-kurangnya selama sejam sebelum menara itu dibuka, kata satu lagi sumber polis.

Bagaimanapun lelaki tersebut tidak kelihatan pada tengah hari.

Ketika kejadian, beratus-ratus orang sedang menunggu untuk menaiki ke aras atas menara itu, tetapi mereka kemudiannya diminta untuk mengosongkan kawasan tersebut, malah kaunter tiket juga ditutup.

Pihak polis mengawal di sekeliling kawasan menara itu dan orang ramai berkumpul di tebing Sungai Seine.

Menara Eiffel sebelum ini beberapa kali menerima ancaman daripada kumpulan pengganas, termasuk al-Qaeda dan ISIS.

Pasukan keselamatan kini mempertingkatkan kawalan mereka terutama sejak insiden serangan oleh kumpulan lelaki bersenjata di bandar raya itu pada Januari lalu.


Menara Eiffel

Artikel Sebelum

Artikel Lain