suria

Dalang Insiden Letupan Di Bangkok Berada Di Turki

Prawut Thavornsiri.

BANGKOK: Polis akan mendapatkan bantuan rakan sejawatan dari Turki mengenai laporan bahawa dalang yang melarikan diri ke Bangladesh sehari sebelum insiden letupan bom di Bangkok pada 17 Ogos lalu, menyelinap masuk ke Turki.

Jurucakap polis, Leftenan Jeneral Prawut Thavornsiri berkata laporan perisikan menunjukkan suspek Abu Dustar Abdulrahman atau "Izan", warga China menyembunyikan laluan untuk mengelak daripada dikesan dengan menukar jadual perjalanan ke Istanbul.

Laporan sebelum ini menyebut Abudustar meninggalkan Bangkok pada 16 Ogos menuju ke Dhaka, lokasi di mana dia dipercayai tinggal selama dua minggu.

Seorang pegawai kanan polis Bangladesh berkata Abudustar menaiki penerbangan Jet Airways ke China pada 30 Ogos lalu.

Namun, Prawut pada Isnin berkata suspek sebenarnya meninggalkan Dhaka menuju ke New Delhi sebelum berlepas ke Abu Dhabi dan kemudiannya ke Turki.

Menurut Prawut, suspek tiba di Istanbul pada 31 Ogos.

"Dia mengubah laluannya untuk mengelak polis mengesan pergerakannya. Jadi kami akan menghubungi kedutaan Turki di Bangkok mengenai laporan ini," katanya.

Abudustar didakwa menjadi dalang insiden letupan bom di Kuil Erawan yang menggorbankan 20 nyawa.


letupan bom, Bangkok, kuil Erawan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain