suria

Britain Buka Pintu Kepada 20,000 Pelarian Syria

Wajah kanak-kanak pelarian perang Syria. Imej: Daily Mail Online.

LONDON: Perdana Menteri Britain membuat keputusan bahawa negaranya akan membuka pintu kepada  20,000 pelarian Syria dengan memberi keutamaan kepada kanak-kanak dan wanita.

Tetapi ia akan dilakukan dengan bersyarat iaitu mereka yang akan diterima masuk itu akan diambil terus dari kem pelarian perang di Timur Tengah.

David Cameron menegaskan bahawa pelarian yang sedia ada di Eropah atau sedang dalam perjalanan memasuki Eropah secara haram tidak akan diambil oleh Britain.

Satu bajet khas perumahan dan bantuan makanan akan diperuntukkan untuk menempatkan para pelarian perang ini nanti di Britain.

Proses membuka pintu kepada pelarian perang Syria untuk memasuki Britain secara sah ini akan dilakukan dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

Dalam satu kenyataan kepada parlimen, Cameron menegaskan, walaupun mereka menerima kritikan keras kerana enggan menerima pelarian perang dari Syria yang telah pun berada di Eropah tetapi Britain tetap dengan pendirian tidak akan membuka pintu kepada kumpulan berkenaan.

Jerman sebaliknya dipuji sebagai negara contoh kerana membuka pintu kepada pelarian Syria di Eropah sehingga kepada 10,000 orang dalam masa sehari pada hujung minggu lalu.

Britain kata Cameron lagi akan mengguna pakai konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pelarian bagi mengenalpasti siapakah yang harus diberi keutamaan dahulu seperti kanak-kanak dan anak yatim.

Pelarian yang akan diterima masuk ke Britain ini, katanya, akan diberi visa khas perlindungan kemanusiaan sehingga lima tahun dengan pihak berkuasa tempatan akan membantu memberi bantuan kewangan dan tempat tinggal.

Ahli parlimen Parti Buruh, Yvette Cooper berkata adalah tidak memadai untuk membuka pintu kepada hanya 20,000 pelarian dalam tempoh lima tahun sedangkan pada tahun 1930-an, Britain pernah mengambil sehingga 10,000 kanak-kanak mangsa perang untuk tempoh sembilan bulan sahaja.

Angus Robertson, ahli parlimen dari Parti Nasional Scotland menegaskan adalah memalukan untuk Britain membuka pintu kepada hanya 20,000 mangsa perang untuk tempoh lima tahun.

Namun begitu, Cameron menegaskan walaupun jumlah pelarian yang akan diterima masuk hanyalah sekitar 20,000 orang tetapi pada masa yang sama baget yang diperuntukkan untuk mengurus kemasukan itu adalah lebih £1 bilion - satu jumlah yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negara Eropah yang lain dalam menangani krisis pelarian ini.

Sebab mengapa Britain enggan menerima pelarian yang sudah berada di Eropah adalah kerana mereka tidak mahu mengalakkan lebih ramai pelarian mengambil risiko membahayakan nyawa mereka sendiri untuk masuk secara haram dan melalui sindiket.

Kata Cameron, adalah lebih selamat urusan kemasukan dibuat melalui saluran yang betul iaitu menerusi kem-kem pelarian yang diuruskan oleh PBB dan negara-negara yang bersempadan dengan Syria secara teratur.

Setakat ini sejumlah 160,000 pelarian sudah pun berada di serata Eropah untuk mencari kehidupan yang lebih baik dan jauh dari ancaman perang.

Artikel Berikut

Artikel Lain