suria

10 Terlibat Pengeboman Di Bangkok - Ketua Polis Thai

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 10 orang terlibat dalam letupan bom dekat Kuil Erawan di bahagian tengah Bangkok pada malam Isnin lepas, kata Ketua Polis Diraja Thailand Jeneral Somyot Pumpanmuang.

Beliau berkata mereka merancang insiden itu di luar Bangkok sejak beberapa bulan lepas.

Namun, beliau tidak menyatakan lokasi yang disyaki itu.

"Mereka bekerjasama sebagai satu kumpulan, meninjau kawasan itu, menyamar sebagai pengawal, menyediakan bahan-bahan serta bantuan untuk melarikan diri dari tempat kejadian.

"Saya percaya tidak kurang daripada 10 orang terlibat," katanya kepada pemberita di sini.

Jeneral Somyot percaya kumpulan itu mengandungi ramai orang kerana menurut pemandu teksi 'Tut Tut' yang membawa suspek dari Kuil Erawan ke Suan Lumpini (Taman Lumpini), suspek masih berada di tempat kejadian selepas meletupkannya.

Menurutnya saksi itu berkata suspek tidak bergerak ke mana-mana selepas melakukan pengeboman itu.

"Oleh itu, mesti ada seseorang yang datang mengambilnya," kata beliau.

Katanya pihak berkuasa Thailand juga bertukar maklumat dengan negara-negara lain yang mempunyai kepakaran dalam memerangi jenayah keganasan namun, beliau tidak menamakan negara berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata polis belum mengenal pasti sama ada suspek yang melakukan pengeboman itu adalah warganegara Thailand atau rakyat asing kerana pengebom itu boleh menyamar untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Semalam, Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan mengeluarkan waran tangkap terhadap pengebom itu di persimpangan Ratchaprasong dan polis mengenal pasti suspek sebagai 'warga asing' dalam permohonan waran tangkap itu.

Jeneral Somyot, yang percaya suspek masih berada di Thailand, turut menggesa pemandu 'Tuk Tuk' yang membawa suspek ke lokasi pengeboman supaya tampil membantu siasatan polis.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pihak media di pejabatnya hari ini, beliau enggan mengulas mengenai khabar angin bahawa suspek telah diberkas di daerah Sriracha di wilayah Chonburi.

Chonburi terletak di wilayah timur Thailand, iaitu satu jam perjalanan dengan kereta dari Bangkok.

"Ahli-ahli perniagaan yang merupakan rakan saya juga bertanya mengenai perkara itu (berita tentang penangkapan suspek)," katanya sambil menambah mereka mahu menyumbang sejuta Baht sebagai ganjaran bagi penangkapan suspek.

Bangkok

Artikel Lain