suria

MH370: Serpihan Dipercayai Pintu Pesawat Ditemui Di Pulau Reunion

Pemandangan dari udara di Saint-Andre, Pulau Reunion, Perancis, menunjukkan pantai di mana serpihan pesawat dan bagasi koyak ditemui pada 29 Julai lalu. AFP
SERPIHAN bangkai dipercayai bahagian pintu pesawat dijumpai terdampar di pulau sama di mana serpihan flateron Boeing 777 ditemui.

Polis di Pulau Reunion, sebuah pulau kecil di Perancis telah mendedahkan bahawa satu lagi serpihan telah ditemui di sekitar pulau itu awal pagi ini, lapor mirror.co.uk.

Ia telah ditemui pada jarak lebih jauh ke arah lapangan terbang pulau itu - jauh dari lokasi di mana bahagian sayap ditemui terdampar minggu lepas.

Tidak ada lagi sebarang pengesahan sama ada ia milik penerbangan MH370 atau sebaliknya, tetapi polis telah mendedahkan mereka percaya ia adalah pintu pesawat.

Ia kini sedang diperiksa oleh pegawai-pegawai di pulau kecil itu, tetapi dijangka akan dihantar ke Perancis untuk dikaji oleh pakar-pakar.

Turut tidak dapat dipastikan sama ada ia berasal daripada penerbangan MH370 atau dari Boeing 777.

Berita mengenai penemuan ini muncul sebaik sahaja bangkai yang dipercayai milik pesawat hilang MAS penerbangan MH370 tiba di Perancis untuk diperiksa penyiasat, Sabtu.

Bahagian sayap ditemui di pulau kecil La Reunion awal minggu ini dan telah dibawa ke Perancis untuk dianalisis pakar.

Bahagian sayap itu telah disahkan milik pesawat Boeing 777 model yang sama dengan pesawat MH370 yang hilang tahun lepas dengan 239 orang di atas kapal.

Penerbangan Air France yang membawa serpihan itu mendarat di lapangan terbang Orly di Paris.

Ia dihantar ke makmal unit tentera berhampiran bandar barat daya Toulouse untuk kajian selanjutnya dilakukan.
MH370, Pulau Reunion, pintu pesawat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain