suria

Rakyat Malaysia Mati Ditembak Di Sungai Golok

NARATHIWAT: Seorang warga Malaysia maut manakala rakannya cedera akibat ditembak oleh dua lelaki bermotosikal di Jalan Charengket di Sungai Golok, awal pagi Isnin.

Pegawai Penyiasat Balai Polis Sungai Golok, Kol.Pol. Somchai Pearkan berkata dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Asshraf Zafri, dari Jalan Tepi Sungai, Rantau Panjang, Kelantan, maut akibat terkena satu das tembakan di bahagian kepala.

Beliau berkata rakan mangsa, Muhammad Irfan Muhammad Zain, mengalami cedera parah akibat terkena tembakan di bahagian belakang badan dan dibawa ke hospital di sini untuk rawatan.

Bagaimanapun, umur dan pekerjaan kedua-dua mangsa tidak diperolehi.

Somchai berkata polis menemukan dua kelongsong peluru jenis .9mm dan 14 butir peluru di lokasi kejadian.

Beliau berkata kedua-dua mangsa menyeberang sempadan melalui sungai di Pengkalan Prapa dan menyewa motosikal untuk berurusan di pekan Sungai Golok.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar kejadian, polis berjaya menahan seorang suspek warga Thailand berusia 52 tahun di sebuah rumah di pekan Sungai Golok.

"Bagaimanapun, rakan suspek, seorang warga Malaysia meloloskan diri semasa polis menyerbu rumah tersebut," katanya.

Beliau berkata polis sedang menyoal siasat suspek untuk mengetahui motif pembunuhan itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain