suria

Australia Sangkal Tuduhan TPP Akan Naikkan Kos Perubatan

MELBOURNE: Menteri Perdagangan dan Pelaburan Australia, Andrew Robb, menyangkal tuduhan bahawa negara itu akan memeterai perjanjian perdagangan yang akan meningkatkan kos perubatan dan menjejaskan sistem kesihatan awam.

Robb menyifatkan berita dalam akhbar harian tempatan pada Selasa - yang kononnya berasaskan kepada "teks bab draf bocor" rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) - sebagai satu lagi cubaan menghentam kerajaan.

"Seperti yang saya berulang kali jelaskan, kerajaan tidak menyokong hasil rundingan yang akan menaikkan harga perubatan bagi rakyat Australia ataupun menjejaskan sistem kesihatan kita secara umum.

"Kami juga tidak akan menerima hasil yang menjejaskan keupayaan kami untuk mengawal selia atau menggubal demi kepentingan awam dalam bahagian seperti kesihatan. TPP memiliki potensi untuk membantu memacu pertumbuhan, pekerjaan dan meningkatkan standard hidup.

"Fokus utama pembabitan kami adalah untuk mengemukakan kepentingan Australia dalam rundingan yang melibatkan 12 negara yang mewakili 40 peratus daripada KDNK global," kata Robb dalam satu kenyataan.

Beliau berkata sesiapa sahaja yang benar-benar berminat untuk memahami keadaan sebenar rundingan daripada perspektif Australia digalakkan untuk menyertai proses perundingan awam.

Sejak 2011, Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia mengendalikan lebih 1,000 taklimat dengan pemegang kepentingan yang berminat termasuk kumpulan yang mewakili sektor kesihatan, farmaseutikal, pengguna dan kesatuan sekerja.

"Teks itu tidak akan dirahsiakan, Sebaik sahaja ia dipersetujui antara para peserta, ia akan didedahkan kepada umum dan juga tertakluk kepada penelitian Parlimen sebelum sebarang pengesahan muktamad," kata Robb. 

TPP, Australia

Artikel Sebelum

Artikel Lain