suria

Tiada Penangguhan Hukuman Mati Dua Warga Australia - Jokowi

Sukumaran dan Chan tetap akan berhadapan skuad penembak dalam masa terdekat.

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo menegaskan tiada penangguhan terhadap pelaksanaan hukuman mati ke atas dua warga Australia, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran.

Penangguhan perpindahan kedua-dua banduan itu ke penjara di Pulau Nusakambangan minggu ini bukan bermakna hukuman itu juga akan ditangguhkan.

Kenyataan pemimpin nombor satu Indonesia yang dikenali sebagai Jokowi itu dikeluarkan selepas peguam negara, H M Prasetyo dipetik sebagai berkata, lebih baik untuk kedua-dua banduan itu berhadapan skuad penembak dalam masa terdekat.

"Kami berpendapat, adalah lebih baik dipercepatkan hukuman itu," kata Prasetyo di Jakarta.

Pada sidang media di Bogor, presiden itu berkata, sebarang penangguhan terhadap hukuman itu berlaku kerana isu teknikal, bukan kerana tekanan pihak Australia.

Bagaimanapun, beliau juga memaklumkan tiada penangguhan untuk pihaknya melaksanakan hukuman mati itu.

"Ini adalah kedaulatan undang-undang kami dan apa yang berlaku ketika ini hanyalah hal teknikal," katanya.

Kenyataan Jokowi ini sekali gus mengetepikan desas desus berhubung penangguhan hukuman itu yang dilaporkan sebelum ini.

Terdahulu, AFP melaporkan jurucakap pejabat Naib Presiden Indonesia, Husain Abdullah sebagai berkata, pelaksanaan hukuman mati ke atas Chan dan Sukumaran akan ditangguhkan antara tiga minggu hingga sebulan berikutan isu teknikal.

Kedua-dua pesalah warga Australia itu adalah ketua kumpulan pengedar dadah jenis heroin yang dikenali sebagai Bali Nine.

Sebelum ini, pihak berkuasa Indonesia mengesahkan Chan, 31, dan Sukumaran, 33, adalah sebahagian banduan yang akan menjalani hukuman mati.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berulang kali mengemukakan permohonan rayuan supaya kedua-dua mereka diberi pengecualian.

Kedua-dua pesalah itu dijadualkan dipindahkan minggu ini dari Bali ke penjara dengan kawalan ketat di Pulau Nusakambangan sebelum hukuman mati dilaksanakan.

Bagaimanapun, pemindahan itu ditangguhkan selepas Canberra merayu supaya banduan warganya itu diberi lebih masa bersama ahli keluarga masing-masing.

Pihak berkuasa di sini turut menyebut penangguhan berikutan masalah logistik melibatkan kapasiti di Nusakambangan, pulau penjara terkenal di mana lima banduan telah dihukum mati bulan lalu.

Jurucakap kepada Pejabat Peguam Negara yang menyelia pelaksanaan hukuman tersebut, Tony Spontana bagaimanapun enggan mengesahkan mahupun menyangkal kenyataan pejabat Naib Presiden itu.

Yang pasti kata jurucakap itu, kedua-dua banduan terbabit tetap akan berdepan hukuman mati sama ada cepat atau lambat.

“Apa yang perlu ditekankan di sini ialah hukuman mati itu tetap akan dilaksanakan,” kata Spontana.

Indonesia berikrar untuk meneruskan hukuman mati kedua-dua warga Australia itu yang merupakan sebahagian daripada tujuh banduan warga asing yang berdepan hukuman sama selepas kesemua mereka gagal dalam permohonan pengampunan daripada Presiden Indonesia.

Keputusan itu telah menyebabkan hubungan antara Jakarta dan Canberra tegang semula selepas perselisihan faham mengenai pendedahan intipan dan penyeludupan manusia pada 2014. 

Artikel Sebelum

Marina Torch Dubai Terbakar

Artikel Berikut

Ribut Marcia, Lam Badai Australia

Artikel Lain