suria

16 Maut Dihempap Kabel Elektrik di Haiti

Waris keluarga mangsa mengecam mayat mereka yang terbunuh dalam insiden dihempap tiang elektrik dalam satu perarakan yang diadakan di Port-Au-Prince, Haiti pada Rabu. Sekurang-kurang 16 orang terkorban sementara 40 lagi dilaporkan cedera dalam insiden malang itu. - Foto EPA.
PORT-AU PRINCE: Sekurang-kurangnya 16 orang awam maut apabila kabel bervoltan tinggi tiba-tiba jatuh dan menghempap peserta perarakan karnival di sini pada Rabu yang disaksikan ribuan penonton, kata pegawai.

Sementara itu, 78 orang pula dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan yang berlaku pada kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan sekali gus menyebabkan penduduk Haiti berkabung pada hari kedua penganjuran karnival berkenaan.

Ahli keluarga dan waris berkumpul di kompleks utama hospital di sini bagi mencari orang tersayang ketika doktor bekerja keras memberikan rawatan kepada mereka yang tercedera.

Pihak berkuasa juga telah mengambil tindakan dengan membatalkan hari terakhir sambutan karnival itu dan mengumumkan hari berkabung selama tiga hari.

Perdana Menteri, Evans Paul meminta rakyat negara itu memberikan penghormatan kepada mereka yang terkorban dengan berpakaian serba putih dan berarak secara senyap di tempat kejadian, Champ de Mars.

Perarakan yang membawa kumpulan rap terkenal dikenali Barikad Crew. Mereka dihempap kabel berkenaan ketika melalui kawasan Champ de Mars.

Penyanyi kumpulan itu, "Fantom," dihempap kabel berkenaan dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Ramai yang terkorban dan cedera adalah penari dan pemuzik yang menyertai perarakan karnival berkenaan.

Ribuan orang turut menyaksikan karnival terbabit ketika nahas berlaku.

"Kerajaan berkongsi kesedihan keluarga mangsa, kita memutuskan untuk membatalkan semua aktiviti karnival itu di seluruh negara," kata kenyataan pejabat perdana menteri.

Bendera separuh tiang turut dikibarkan di semua bangunan kerajaan manakala majlis pengebumian negara diadakan Sabtu ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain