suria

Thailand Kesal Dengan Kenyataan Pegawai Tinggi AS

Murphy (kiri) dipanggil pihak Kementerian Luar Thailand untuk bertemu Pramudwi susulan kenyataan yang dikeluarkan Russel, Rabu.

BANGKOK: Thailand menyuarakan kegusaran dan kekesalan berhubung kenyataan dikeluarkan seorang pegawai tinggi Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, yang disifatkan sebagai campur tangan dalam situasi politik domestik.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Thailand berkata banyak pihak di Thailand menganggap beberapa bahagian dalam ucapan Penolong Setiausaha Negara AS Daniel Russel pada Isnin di Institut Keselamatan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Chulalongkorn, boleh menyemarakkan sentimen politik di Thailand.

Timbalan Menteri Luar Don Pramudwinai menyuarakan kekesalan itu dalam pertemuan dengan Patrick Murphy, Kuasa Usaha Kedutaan AS di Thailand, menurut kementerian itu.

Menurut versi dalam talian akhbar harian berbahasa Inggeris The Nation, pertemuan itu diadakan atas arahan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha, berikutan kerajaan Thailand mahu menjelaskan tentang fakta situasi politik di Thailand.

The Nation melaporkan dalam ucapan pada Isnin, Russel membayangkan pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra adalah bermotifkan politik.

Russel yang melawat Thailand pada Isnin telah mengadakan pertemuan dengan Yingluck, bekas Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva dan Menteri Luar Tanasak Patimapagorn.

Kementerian Luar dalam kenyataan itu berkata Don turut memaklumkan kepada  Murphy bahawa Prayuth berhasrat menghadiri Perhimpunan Agung Ke-70 Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York pada September, dan berharap AS dapat menimbangkan untuk menggunakan peluang itu bagi mengukuhkan hubungan dua hala.

Artikel Lain