suria

1.5 Juta Pengikut @KingSalman

Raja Salman Abdulaziz

RIYADH: Raja Arab Saudi ketujuh yang menaiki tahta, Raja Salman Abdulaziz Al Saud memilih untuk menggunakan media sosial, Twitter bagi lebih mendekati jutaan penduduk negara itu.

Sehingga Sabtu, pengikut Raja Salman meningkat kepada 1.3 juta kepada 1.5 juta, walaupun beliau sendiri tidak menjadi pengikut sesiapa pun menerusi laman Twitter.

Sebelum ini, negara Timur Tengah itu dikatakan melarang penggunaan media sosial dan Internet dan ia ternyata berubah dengan kehadiran pemimpin baharunya.

Pada usia 79 tahun, adik kepada Raja Abdullah yang mangkat pada Jumaat itu turut mengubah handle Twitternya daripada @HRHPSalman kepada KingSalman dalam tempoh hanya beberapa jam selepas kemangkatan abangnya.

Beberapa catatan dalam bahasa Arab termasuk: "Semoga Tuhan merahmati roh Abdullah bin Abdul-Aziz dan melimpahkan rahmat kepada rakyat atas perpisahan ini" dan "Saya memohon agar Tuhan membantu saya dalam memberi khidmat kepada rakyat, merealisasikan impian dan melindungi negara, keselamatan serta kestabilan daripada kejahatan," demikian lapor NBC.

Menerusi ucapannya yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen kerajaan, Raja Salman berkata: "Kami akan meneruskan dasar yang digunapakai Arab Saudi selama ini."

Jika diteliti latar belakangnya, Raja baru Arab Saudi ini berpengalaman luas dalam urusan pentadbiran terutama sejak Gabenor Riyadh hampir 50 tahun.

Salman, sudah mula memangku tugas Raja sejak setahun lalu iaitu selepas kesihatan Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud dilaporkan mula menyusut.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan sejak 2011 serta ketua tentera Arab Saudi ketika negara itu menyertai Amerika Syarikat (AS) dan negara Arab lain menjalankan serangan udara bagi mengekang penguasaan militan di Syria, tahun lalu.

Salman juga diketahui umum mempunyai hubungan yang baik dan berpengaruh dalam kalangan suku kaumnya di Arab Saudi.

Dalam tempoh 48 tahun menjadi gabenor itu, beliau berjaya melakukan transformasi ke atas bandar terbabit dari sebuah bandar padang pasir terpencil menjadi wilayah sesak dengan bangunan pencakar langit, universiti serta pelbagai rantaian makanan segera Barat.

Salman juga dilihat berjuang dalam memenuhi kehendak rakyat negara itu dengan memperkenalkan pembinaan perumahan mampu miliki serta pengangkutan awam mencukupi untuk empat juta rakyatnya.

Anak beliau kini turut memegang jawatan penting dalam negara itu. Putera Abdulaziz adalah Timbalan Menteri Minyak; Putera Faisal, gabenor Madinah dan Putera Sultan, angkasawan Arab pertama serta ketua kepada pihak berkuasa pelancongan negara itu.

Sebaik diisytiharkan sebagai pengganti abangnya yang mangkat, Raja Salman melantik anak saudaranya, Mohammed bin Nayef sebagai timbalan putera mahkota.

Ini bermaksud beliau bakal menjadi orang pertama dalam generasi itu untuk memerintah negara berkenaan satu hari nanti.

Putera Mohammed, yang kekal sebagai Menteri Dalam Negeri, menurut pengisytiharan diraja yang disiarkan televisyen tempatan adalah pewaris berikutnya selepas Salman dan Putera Mahkota Muqrin.



Raja Salman, Arab Saudi, Twitter

Artikel Berikut

Artikel Lain