suria

Ibu Mangsa MH17 Heret Ukraine Ke Mahkamah Hak Asasi

BERLIN: Ibu seorang mangsa nahas pesawat MH17 dari Jerman memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Ukraine di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dengan mendakwa Kiev gagal menutup ruang udara negara itu.

Wanita itu mengemukakan aduan di mahkamah yang berpangkalan di Strasbourg minggu lalu dengan memfailkan tuntutan saman ke atas kerajaan Ukraine sebanyak 800,000 Euro (AS$1 juta) sebagai ganti rugi kerosakan akibat kecuaian yang disengajakan, demikian lapor akhbar harian Jerman, Bild pada Ahad.

Pesawat Malaysian Airlines (MAS) Boeing 777 itu jatuh ditembak di kawasan dikuasai pemisah Ukraine di timur negara itu pada 17 Julai, mengorbankan semua 298 orang di dalam pesawat dengan 193 daripadanya warga Belanda.

Empat daripada penumpang adakah rakyat Jerman.

Kiev dan negara Barat menuduh kumpulan pemisah menembak jatuh pesawat itu menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara yang dibekalkan Rusia namun dinafikan Moscow.

Pihak plaintif kes itu mendakwa Ukraine sepatutnya menutup ruang udaranya daripada pesawat awam apabila tercetusnya pertelingkahan di timur negara itu, lapor akhbar Bild.

Wanita berkenaan mendakwa Ukraine memilih tidak mahu menutup ruang udaranya hanya kerana tidak mahu kehilangan hasil daripada yuran penggunaan penerbangan.

Pada masa itu, kira-kira 700 penerbangan melalui ruang udara Ukrainie setiap hari yang membawa pendapatan beberapa juta euro sebulan, kata Bild.

Wanita berkenaan diwakili peguam Jerman, Elmar Giemulla, seorang profesor dalam undang-undang penerbangan.

Giemulla mengumumkan pada September lalu bahawa beliau akan mewakili tiga keluarga dari Jerman yang menjadi mangsa MH17.

"Dengan mengekalkan ruang angkasa sebagai transit pesawat penerbangan untuk negara lain, negara itu (Ukraine) mesti memastikan keselamatan pesawat terbabit. Namun ia agak mustahil dilakukan dan ini bermakna ruang udara sepatutnya ditutup," katanya.
MH17, Jerman, mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain