suria

Rusia Mahu Tingkatkan Perdagangan Dua Hala

BEIJING: Rusia menyuarakan hasratnya untuk meluaskan skop sedia ada yang terhad kepada peluang perniagaan dan perdagangan dengan Malaysia, selain mahukan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara ditingkatkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec 2014, di sini pada Isnin, berkata dalam pertenuan itu mereka membincangkan kaedah kedua-dua negara dapat menjalankan perniagaan secara lebih konstruktif.

Bercakap kepada media Malaysia di sini, Najib berkata perdagangan kedua-dua negara kini menunjukkan trend peningkatan.

Dagangan Malaysia-Rusia bagi 2012-2013 meningkat 66.6 peratus dan bagi tempoh Januari-Julai tahun ini, angkanya meningkat 70 peratus, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

"Ini menunjukkan bahawa prospek peningkatan perdagangan antara Rusia dan Malaysia sangat baik," katanya dan menambah pertemuan itu berlangsung atas permintaan Putin.

Najib berkata Putin juga berharap kerjasama dengan Petronas dalam sektor minyak dan gas dapat ditingkatkan dan diperluaskan.

Mengenai pelancongan, Najib berkata lebih banyak usaha diperlukan bagi menarik lebih ramaii pelancong Rusia ke Malaysia memandangkan jumlahnya masih kecil berbanding pelawat dari negara lain.

"Banyak pelancong Rusia melawat Dubai dan Phuket, tetapi tidak ramai datang ke Malaysia. Oleh itu kita perlu bertindak bagi memastikan lebih ramai daripada kalangan mereka, berkunjung ke Malaysia," katanya.

Najib berkata Putin juga menyatakan hasratnya untuk menjalin kerjasama dalam industri farmaseutikal dan penggunaan tenaga nuklear untuk tujuan keamanan dan berharap Malaysia membeli lebih banyak peralatan persenjataan dari Rusia.

Sementara itu pada pertemuan beliau dengan Ketua Eksekutif Wilayah Khas Hong Kong, Leung Chun-ying, Najib berkata 'Perjanjian Kerjasama Ekonomi Lebih Rapat' Hong Kong-China telah membuka peluang untuk ahli perniagaan Malaysia melabur di wilayah itu.

"Saya juga berharap lebih banyak pelancong Hong Kong melawat Malaysia, dan Leung bersetuju untuk bekerjasama, bukan sahaja bagi Hong Kong, bahkan Guangdong," kata Najib.

Mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri New Zealand John Key, Najib mengucapkan tahniah atas kemenangan Key dengan majoriti besar pada pilihan raya umum negara itu.

Pada pertemuan itu, Najib turut membincangkan kes membabitkan Pegawai Waran II, Muhammad Rizalman Ismail, yang didakwa melakukan serangan seksual dengan niat merogol seorang wanita.


Rusia, Malaysia, China

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain