suria

Pereka Fesyen Terkemuka Dunia Oscar de la Renta Meninggal Dunia

Oscar de la Renta bersama pelakon terkenal Hollywood, Penelope Cruz.

NEW YORK: Pereka fesyen terkemuka, Oscar de la Renta - orang yang mencipta gaun pengantin para selebriti dunia - meninggal dunia pada usia 82 tahun di kediamannya Connecticut, Amerika Syarikat pada Isnin, demikian menurut isterinya Annette.

Rekaan terakhirnya ialah gaun pengantin isteri pelakon terkenal George Clooney, Amal Alamuddin September lalu.

De la Renta didiagnos dengan kanser pada 2006 tetapi meneruskan kerjanya sebagai pereka fesyen seperti dia tidak pernah menderita sakit.

Dia hanya mempunyai seorang anak angkat berkulit hitam bernama Moises - juga seorang pereka fesyen di syarikatnya sendiri.

Kematiannya juga genap seminggu selepas pengumuman bekas pereka fesyen Nina Ricci, Peter Copping menyertai labelnya sebagai pengarah kreatif.

Pada masa yang sama, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh dua orang kakitangan kanannya, Alex dan Eliza Bolen, De la Renta meninggal dunia dikelilingi oleh ahli keluarga dan kawan-kawan rapatnya.

De la Renta mula dikenali ramai apabila dia menjahit pakaian untuk wanita pertama Amerika Syarikat, Jackie Kennedy di awal-awal tahun 1960-an.

Dia kemudian menjadi popular di kalangan bintang-bintang filem, isteri presiden dan juga selebriti yang lain.

Antara pelanggannya termasuklah isteri bekas presiden Amerika, Nancy Reagan, Betty Ford dan Laura Bush.

Malah anak perempuan Presiden George W. Bush,  Jenna berkahwin menggenakan gaun pengantin rekaan Oscar de la Renta pada tahun 2008 manakala Puteri Diana juga adalah salah seorang pelanggan tetapnya.

de la Renta juga sangat rapat dengan isteri Presiden Bill Clinton, Hillary.

Dan wanita pertama Amerika masa kini, Michelle Obama turut memakai pakaian rekaan de la Renta.

Manakala pelakon-pelakon popular yang turut memakai gaun dan pakaian rekaan de la Renta termasuklah Amy Adams, Jennifer Garner, Cameron Diaz, Penelope Cruz, Sarah Jessica Parker, Nicole Kidman, Jessica Chastain, Taylor Swift, Emma Watson, Kristen Stewart, Anne Hathaway, Beyonce dan Reese Witherspoon.

De la Renta dilahirkan pada 1932 di Republik Dominica tetapi kemudian berhijrah ke Madrid pada usia 18 tahun untuk belajar melukis.

Dia diasuh oleh pelukis terkenal Sepanyol, Cristobal Balenciaga dan selepas itu berhijrah ke Paris untuk bekerja dengan jenama terkenal Lanvin.

De la Renta berkahwin dengan Annette pada 1989. Sebelum itu, dia mengahwini bekas pengarang majalah  Vogue edisi Perancis, Françoise de Langlade. Pada 1983, de Langlade meninggal dunia.

Pereka fesyen itu tidak mempunyai zuriat.

Dan ketika dia disahkan mengidap kanser, de la Renta berkata; "Satu-satunya realiti dalam kehidupan ialah kita dilahirkan dan kita meninggal dunia. Namun manusia tidak mahu memikirkan soal kematian. Tetapi amaran (kanser) seperti ini ialah ia mengingatkan kita tentang kematian dan menghargai setiap detik dalam kehidupan kita."

Artikel Lain