suria

Tablet iPad Pro Mungkin Ditunda Kerana Sambutan Luar Biasa iPhone 6 Plus

Pelancaran iPhone Plus 6 ternyata menjadi satu keputusan yang popular dan kini permintaan ke atasnya melebihi penawaran.

NEW YORK: Pengeluar telefon pintar dan komputer peribadi, Apple khabarnya telah menangguh rancangan untuk mengeluarkan tablet iPad Pro bersaiz 12.9 inci gara-gara permintaan luar biasa yang diterima ke atas telefon pintar terbaru mereka - iPhone 6 Plus 5.5 inci.

Apple telah pun mengesahkan yang mereka berjaya menjual lebih 10 juta unit iPhone 6 Plus ketika minggu pelancarannya dan kemudian angka jualan itu dikatakan meningkat kepada 21 juta unit menjelang minggu kedua jualan.

Sejumlah 4 juta unit lagi direzabkan untuk pasaran China semata-mata.

Para pemerhati melihat model 6 Plus, yang memaparkan skrin yang jauh lebih besar dari model sebelum ini menjadi daya tarikan utama kepada popularitinya sehingga membawa kepada permintaan melebihi penawaran.

"Kita keutamaan Apple ialah untuk memenuhi permintaan ke atas model iPhone 6 Plus terlebih dahulu kerana mereka bimbang permintaan yang melebihi penawaran akan menjejaskan populariti iPhone di kalangan pengguna," ujar salah seorang pakar pemasaran gajet kepada akhbar the Wall Street Journal.

Di kilang pengeluaran di Zhengzhou, China, lebih 200,000 pekerja ditugaskan untuk membuat unit iPhone 6 Plus sahaja.

Mengikut jadual, tablet iPad Pro dengan skrin yang lebih lebar sepatutnya memasuki proses pengeluaran Disember ini tetapi kini nampaknya, sasaran tersebut terpaksa ditunda untuk memberi perhatian kepada pengeluaran iPhone 6 Plus terlebih dahulu.

Apple juga sepatutnya memperkenalkan iPad baru dan komputer Mac baru pada 16 Oktober ini di ibu pejabat mereka di California, Amerika Syarikat.

Dan gajet terkini dari Apple itu mungkin sudah memasuki pasaran menjelang 24 Oktober - dengan Mac memperkenalkan perisian baru yang dinamakan 'Yosemite'.

Minggu lalu, terdapat khabar angin mengatakan bahawa Apple sedang dalam proses terakhir menyiapkan versi baru iPad Air - termasuklah versi salut permukaan berwarna emas.

Tablet versi baru ini dikatakan bakal muncul senipis iPhone 6.

iPad Pro, iPhone Plus 6, Apple

Artikel Sebelum

Artikel Lain