suria

Indonesia Batal Beli Mercedes Untuk Presiden, Menteri

Jokowi ketika diumumkan memenangi pilihan raya presiden pada Julai lalu.
JAKARTA: Joko Widodo memuji keputusan kerajaan membatalkan pembelian kereta mewah jenama Mercedes-Benz untuk digunakan bakal presiden dan menteri kabinet baharu negara itu kerana menganggapnya sebagai perbelanjaan tidak perlu.


"Ia langkah yang betul.

"Tindakan itu juga menunjukkan kita mula berbelanja dengan berhemat dan berhati-hati menggunakan wang negara," kata pemimpin yang dikenali dengan nama Jokowi itu.

Baru-baru ini kerajaan Susilo Bambang Yudhoyono meluluskan pembelian kereta berkenaan untuk dijadikan kenderaan rasmi kabinet Jokowi.

Kereta model Kelas E 400 itu sepatutnya dibeli dengan perbelanjaan kira-kira RM25 juta.

Walaupun begitu Jokowi keberatan menggunakan kereta mewah itu kerana menganggap kenderaan sedia ada, Toyota Crown Royal Saloons, masih baik dan boleh digunakan dengan selesa.

Dalam beberapa lawatannya sebelum ini pun, bakal presiden Indonesia yang akan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Oktober ini menggunakan kereta Kijang atau bas ketika membuat lawatan rasmi.

Orang ramai turut menyatakan kemarahan dengan perbelanjaan kerajaan membeli kereta baharu itu. 

Pengumuman pembatalan belian itu dibuat Setiausaha Negara Indonesia, Sudi Silalahi pada Rabu.
Jokowi, Mercedes-Benz

Artikel Sebelum

AS Kenang 13 Tahun Tragedi 9/11

Artikel Lain