suria

Cadangan Pindah Makam Rasulullah Cetus Kontroversi

Makam Rasulullah di Masjid Nabawi, Madinah.
SARANAN ulama Arab Saudi baru-baru ini supaya makam Nabi Muhammad di Masjid Nabawi dipindahkan dan dikebumikan di sebuah kubur tidak bertanda kini mencetuskan kontroversi.

Sebuah akhbar di London, Independent melaporkan ulama berkenaan mencadangkan supaya pusara Rasulullah itu dialihkan ke tanah perkuburan al-Baqi yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi.

Perkara ini ditimbulkan selepas ada beberapa ulama lain yang  menyuarakan kebimbangan makam Rasulullah itu semakin menjadi tempat pemujaan.

Walaupun belum ada keputusan mengenainya, cadangan itu menimbulkan kemarahan orang ramai apabila ia tersebar menerusi media sosial.

Dokumen setebal 61 mukasurat itu diedarkan kepada pihak berkuasa Tanah Suci, mencadangkan supaya makam itu dipindahkan ke tanah perkuburan al-Baqi dan dikuburkan tanpa sebarang tanda.

Menerusi akhbar berkenaan, Pengarah Yayasan Kajian Warisan Islam, Dr Irfan Al-Alawi dipetik berkata: “Mereka mahu menghalang umat Islam mengunjungi makam berkenaan kerana menganggap perbuatan itu syirik.

“Satu-satunya cara yang boleh mereka lakukan untuk menyekat orang ramai mengunjungi makam itu ialah dengan memindahkannya ke tanah perkuburan lain dan tidak ditanda,” kata Irfan.

Bagaimanapun, setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada Raja Abdullah atau jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap Masjid Nabawi, bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Arab Saudi, al-Baqi, makam Rasulullah

Artikel Sebelum

Artikel Lain