suria

Jakarta Bersedia Terima Gabenor Pertama Dari Etnik Cina

Bakal gabenor Jakarta, Ahok adalah dari etnik Cina iaitu yang pertama dalam sejarah pentadbiran kerajaan wilayah negara itu.

JAKARTA: Indonesia akan melakar sejarah baru tidak lama lagi dengan seorang pemimpin dari etnik Cina bakal menduduki kerusi gabenor bandar raya ini.

Etnik Cina Indonesia hanya membentuk satu peratus daripada keseluruhan 250 juta penduduk negara itu.

Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali dengan panggilan 'Ahok' yang berusia 48 tahun dan kini merupakan timbalan gabenor akan secara automatik mengantikan gabenor Joko Widodo yang akan mengangkat sumpah sebagai presiden baru Republik Indonesia tidak lama lagi.

Jawatan gabenor di Indonesia adalah sama dengan ketua menteri atau menteri besar di Malaysia dan ia dipilih menerusi pilihan raya gabenor dan bukannya dilantik.

Jakarta mempunyai wilayahnya sendiri dan ditadbir menerusi seorang gabenor serta timbalan gabenor.

Ahok juga akan mencatat sejarah sebagai pemimpin beragama kristian yang kedua bakal menduduki kerusi gabenor.

Sepanjang 32 tahun pemerintahan Suharto, masyarakat Cina Indonesia berasa kebebasan mereka terbatas dan penglibatan mereka di dalam halatuju politik negara juga terbatas.

Malah mereka diminta menukar identiti diri dengan mengubah nama kepada nama Jawa atau etnik tempatan.

Bagaimanapun Indonesia telah melalui proses transformasi politik sejak berakhirnya era Suharto yang menyaksikan lebih ramai etnik Cina memiliki suara dalam menentukan halatuju politik negara, kata Benny Setiono, pengasas Persatuan Cina Indonesia, sebagaimana dipetik oleh agensi berita AFP.

"Siapa sangka pemimpin seperti Ahok dari etnik Cina akan menjadi gabenor Jakarta?," tanyanya lagi.

Tetapi tidak sepertimana bekas bosnya, Widodo yang dikenali sebagai seorang yang tidak keras, lebih kepada pendekatan merayu dan berlembut dengan masyarakat, Ahok dikenali sebagai seorang yang keras dan tidak bertolak ansur terutamanya apabila berhadapan dengan soal rasuah dan korupsi.

Ahok dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berada di Pulau Belitung Barat Indonesia. Beliau seorang graduan geologi dari salah sebuah universiti terkemuka di Jakarta, sebelum kembali ke Pulau Belitung dan terlibat dalam perniagaan.

Pemimpin berkaca mata ini pernah sekali hampir-hampir membuat keputusan untuk meninggalkan Indonesia apabila perniagaannya berhadapan dengan begitu banyak karenah birokrasi tetapi membatalkan hasrat itu selepas dinasihati oleh bapanya sendiri.

Ahok menyertai politik secara aktif hanya pada 2004 dan kemudiannya terpilih sebagai wakil rakyat pada 2009. Ketika berkhidmat di Dewan Perwakilan Rakyat lah dia bertemu dan bersahabat dengan Widodo.

Walaupun gaya kepimpinan benar-benar berbeza dengan Widodo tetapi Ahok telah berikrar yang dia akan meneruskan agenda Widodo untuk warga Jakarta, termasuklah membuka lebih banyak akses kepada perubatan dan pendidikan serta meningkatkan lagi kualiti pengangkutan awam di ibu kota itu.

Artikel Lain