suria

Tragedi MH17 Pembunuhan Beramai-Ramai - Abbott

Abbott meletakkan jambangan bunga sebagai memperingati mangsa tragedi pesawat MH17 ketika melakukan lawatan kerja ke Belanda.
AMSTERDAM: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, menyifatkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 di timur Ukraine sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke Belanda untuk berbincang mengenai tragedi itu dengan rakan sejawatannya, Mark Rutte.

Abbott mengambil kesempatan meletakkan jambangan bunga di berek tentera di mana jenazah mangsa nahas itu ditempatkan dan melalui proses pengecaman.

“Kita harus jelas mengenai apa yang berlaku.

“Seramai 298 orang tidak bersalah dibunuh,” katanya selepas menemui Rutte di The Hague.

Penerbangan MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai lalu, mengorbankan 298 orang, sebahagian besar rakyat Belanda, Malaysia dan Australia.

Pemberontak pro-Russia di Ukraine menafikan bertanggungjawab tetapi seorang anggota tertinggi pemberontak memberitahu agensi berita asing bahawa mereka terbabit.

Penyiasatan jenayah diketuai Belanda berhubung kemusnahan pesawat itu masih berada pada fasa pengumpulan maklumat.

Tony Abott, MH17, Mark Rutte

Artikel Berikut

'Turki Baharu' Janji Erdogan

Artikel Lain