suria

12 Jam Gencatan Senjata Di Gaza Hari Ini

Angka 848 menunjukkan jumlah korban akibat keganasan Israel di Gaza.
BANDARAYA GAZA: Mulai pukul 0500 GMT (1 tengah hari waktu Malaysia) Hamas bersetuju kepada gencatan senjata kemanusiaan selama 12 jam bagi menghentikan pertempuran di Gaza, kata jurucakap kumpulan itu.

Selain Hamas,  semua kumpulan pejuang lain bersetuju kepada gencatan senjata sementara itu yang diatur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Perkara itu disampaikan jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri kepada media asing.

Sebelum ini, seorang pegawai Amerika Syarikat berkata, Israel bersetuju kepada pemberhentian pertempuran selama 12 jam itu walaupun belum disahkan Israel.

Pada masa sama, media melaporkan Kabinet keselamatan Israel bertemu untuk membincangkan cadangan perjanjian yang diserahkan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry.

Antara cadangannya dalah gencatan senjata kemanusiaan selama seminggu bagi membolehkan Hamas, pentadbir Gaza, mendapat semula kredibiliti selepas menolak inisiatif Mesir minggu lalu yang mencadangkan gencatan senjata dulu dan berbincang kemudian.

“Caranya adalah akan ada gencatan senjata diisytiharkan selama tujuh hari, dan semua orang akan ke Kaherah untuk berunding,” kata pegawai Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat.

Media Israel pula melaporkan tentera mahukan lebih masa untuk memusnahkan kawasan roket dan terowong dari Gaza hingga ke Israel, yang digunakan Hamas untuk melancarkan serangan.

Di Tebing Barat, Palestin mengisytiharkan Hari Kemarahan, dan beribu-ribu rakyat Palestin bertempur dengan pihak keselamatan Israel.

Sehingga kini, korban keganasan Israel di Gaza mencapai angka 848 dengan kejadian terkini pesawat Israel membedil 30 rumah di Semenanjung Gaza, mengorbankan seorang pemimpin militan jihad Islam, Salah Hassanein dan dua anak lelakinya, ketika Kabinet Keselamatan Israel membincangkan sama ada untuk memperluaskan tindakan serangan atau mempertimbangkan untuk gencatan senjata.

Hamas, Israel

Artikel Sebelum

Artikel Lain