suria

Sky News Mohon Maaf Isu Wartawannya Selongkar Bagasi Mangsa Nahas MH17

SKY News membuat permohonan maaf secara rasmi selepas menyiarkan rakaman mengenai salah seorang wartawannya sedang menyelongkar sebuah bagasi milik mangsa di lokasi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di Ukraine.

Wartawan itu, Colin Brazier, berada di lokasi nahas di Ukraine dilihat mengangkat dan memeriksa barang-barang di sebuah bagasi tangan yang terbuka di sebalik serpihan bangkai pesawat yang terhempas.

Brazier kemudiannya menyedari bahawa apa yang dilakukannya itu tidak sopan dan kedengaran suara yang menyatakan 'kita tidak sepatutnya melakukan perkara ini.'

Perbuatan memeriksa barang milik mangsa-mangsa di lokasi nahas mencetuskan kemarahan ramai pihak di media sosial dengan kebanyakan komen bahawa tindakan itu sesuatu yang amat mengejutkan.

Malah ramai yang menggesa supaya wartawan itu dikenakan tindakan disiplin atas perbuatan wartawan berkenaan.

Sky News kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan berhubung insiden itu dengan menyatakan: "Hari ini, sewaktu melakukan siaran di lokasi nahas MH17, Colin Brazier pada lokasi tragedi itu menunjukkan barang-barang yang terkandung di dalam beg mangsa kepada para penonton.

"Colin dengan segera menyedari bahawa perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan dan menyatakan perkara tersebut ketika ia disiarkan. Sky News dan Colin memohon maaf sekiranya perbuatan itu menyinggung perasaan mana-mana pihak."

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menjelaskan terdapat tindakan yang akan dikenakan terhadap Brazier. - metro.co.uk


Sky News, MAS, MH17, Penerbangan Malaysia

Artikel Lain