suria

Pembunuhan Etnik Pertama Dunia Berlaku 13,000 Tahun Lalu

Salah satu daripada tengkorak manusia berusia hampir 13,000 tahun yang ditemui di tebing Sungai Nil akan dipamerkan di Muzium British.

LONDON: Tengkorak manusia yang dibunuh secara beramai-ramai 13,000 tahun yang lalu dalam apa yang dipercayai oleh para saintis sebagai akibat daripada perang etnik yang tertua di muka bumi akan dipamerkan di Muzium British, di sini.

Dua daripada tengkorak yang akan dipamerkan itu ditemui di Padang Pasir Sahara di Utara Sudan.

Tengkorak-tengkorak itu berusia sekurang-kurangnya 11,000 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa.

Sekurang-kurangnya 26 orang telah terbunuh akibat pertempuran antara kaum itu.

Para saintis dari Perancis telah bekerjasama dengan Muzium British itu dalam menjalankan penyelidikan ke atas sekumpulan tengkorak yang ditemui di kubur Jebel Sahaba - yang disifatkan sebagai kubur tersusun yang paling awal di muka bumi.

Kubur ini ditemui di timur tebing Sungai Nile, Utara Sudan, pada tahun 1960-an.

Hasil kajian itu mendapati terdapat 60 individu di dalam kubur berkenaan. Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya separuh daripada tengkorak berkenaan mempunyai kesan luka pada tulang.

Ia adalah bukti pertempuran antara kaum yang terawal di muka bumi.

Para saintis percaya, pembunuhan ini tercetus akibat musibah alam sekitar pada zaman Ais yang menyaksikan, dua puak terpaksa bersaing untuk mendapatkan tempat yang terhad untuk hidup.

Kurator Muzium British, Dr Renee Friedman memberitahu, kedua-dua puak yang berbalah itu pada asasnya adalah pemburu yang biasanya akan cuba mengelak daripada bertembung di antara satu sama lain tetapi situasi menjadi begitu mendesak sehingga mereka terpaksa berperang apabila kawasan buruan menjadi terhad akibat daripada krisis populasi sebaik sahaja semakin ramai manusia berkumpul di satu kawasan kerana kesejukan dan kekeringan.

Muzium berkenaan berjaya memperolehi eksibit mereka pada tahun 2002 hasil sumbangan Fred Wendorf, seorang ahli arkeologis Amerika yang berjaya menemui kubur berkenaan. 

Daripada 60 tengkorak yang ditemui itu, sekurang-kurangnya satu tengkorak ditemui dengan 39 kesan tikaman dan tusukan daripada anak panah dan benda tajam, demikian menurut Dr Friedman.

Muzium British, Sungai Nil, Sahara

Artikel Lain