suria

21 Terkorban Hari Ketiga Serangan Udara Israel Di Gaza

Ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan membawa tujuh mayat yang terkorban dalam serangan udara Israel ke masjid di Khan Yunis, Gaza. -AFP
GAZA CITY: Lima kanak-kanak Palestin antara 21 orang yang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Gaza awal Khamis, menurut pegawai perubatan.

Kebanyakan pertumpahan darah berlaku di bandar selatan Khan Yunis.

Kematian tersebut membawa kepada jumlah keseluruhan penduduk Gaza yang terbunuh sejak Israel melancarkan Operasi Perlindungan Sempadan untuk menghentikan serangan roket yang merentasi sempadan pada awal hari Selasa meningkat kepada 72.

Dalam serangan terbaharu, seorang budak lelaki berusia lima tahun terbunuh apabila peluru berpandu Israel membedil bandar Gaza utara, Beit Lahiya, jurucakap perkhidmatan kecemasan, Ashraf al-Qudra memberitahu AFP.

Majoriti kematian berlaku di Khan Yunis dengan bedilan sekitar pukul 1 pagi (2200 GMT) di kedai kopi di mana orang ramai sedang menonton perlawanan separuh akhir Piala Dunia antara Argentina dan Belanda.

Lapan orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 15 cedera.

Sejam kemudian, pesawat perang Israel menyerang dua buah rumah di tempat lain di bandar sama, membunuh empat wanita dan empat kanak-kanak, kata Ashraf.

Satu lagi serbuan disasarkan di sebuah rumah di kem pelarian Nusseirat di tengah Gaza, membunuh seorang lelaki.

Tidak lama selepas subuh, peluru berpandu membedil kereta di barat Gaza City, mengakibatkan tiga terbunuh.

Dalam perkembangan berasingan, seorang lelaki yang cedera parah dalam serbuan di timur bandar Gaza sebelum ini meninggal dunia akibat kecederannya, kata Ashraf.

Kematiannya menyebabkan angka kematian pada Rabu meningkat kepada 30 orang.

Pada Selasa, hari pertama operasi, 21 orang telah terbunuh.

 
Tiada sebarang kematian bagi pihak Israel setakat ini, tetapi Hamas telah melancarkan roket di Israel yang mencetuskan siren yang dapat didengari di bandar-bandar sejauh Gaza, Tel Aviv dan Haifa.
Gaza, Israel, serangan udara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain